London: Arsenal semakin hampir ke final Piala Liga pertama sejak 2018 selepas menewaskan seteru London, Chelsea, 3-2 pada aksi separuh akhir pertama di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Mikel Arteta menguasai perlawanan untuk tempoh yang lama dan jaringan Ben White, Viktor Gyokeres dan Martin Zubimendi sepatutnya hampir menutup perlawanan.
Namun Chelsea mempamerkan kebangkitan dalam perlawanan pertama di laman sendiri di bawah kendalian Liam Rosenior, dengan pemain gantian Alejandro Garnacho menjaringkan dua gol untuk mengekalkan harapan tuan rumah.
Dengan 17 percubaan gol berbanding 10 milik Chelsea, Arsenal merasakan mereka sepatutnya pulang dengan kelebihan lebih besar dan segalanya masih terbuka menjelang aksi timbal balik di utara London pada 4 Februari.
“Kami tidak bermain dengan baik pada babak kedua,” kata White.
“Kami membenarkan mereka memberi tekanan dan itu tidak menepati standard kami. Sedikit mengecewakan, tetapi ia tetap kemenangan.”
Mendahului Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara serta sudah mara ke pusingan keempat Piala FA, Arsenal masih memburu empat trofi musim ini, namun Piala Liga menjadi peluang paling awal untuk menjulang kejuaraan pertama sejak 2020.
Arsenal bermula garang dan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh apabila Declan Rice mengambil sepakan penjuru sebelum White menanduk masuk ketika Robert Sanchez dan pertahanan Chelsea gagal mengawal situasi.
Chelsea cuba bangkit tetapi jarang mengancam, sebelum Gyokeres meledak gol keduanya dalam 11 penampilan selepas Sanchez terlepas kawalan hantaran rendah White, membolehkan penyerang Sweden itu menolak masuk.
Rosenior memasukkan Garnacho yang terus memberi impak apabila menyudahkan hantaran Pedro Neto.
Chelsea kembali bernafsu, namun Arsenal menghukum mereka pada minit ke-71 apabila Gyokeres bertukar peranan sebagai pencipta gol, mengumpan Zubimendi yang tenang melepaskan rembatan deras menewaskan Sanchez.
Gol itu seakan melemahkan tuan rumah, namun Garnacho kekal berbahaya dan menjaringkan gol kedua lewat permainan selepas percubaannya dari luar kotak penalti melepasi kawalan pemain.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Manchester City menewaskan Newcastle United 2-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd




