Mikel Arteta (kiri) tekad menamatkan penantian 20 tahun Arsenal menjuarai EPL. Foto Agensi
BEKAS pertahanan Manchester City yang kini meneruskan karier sebagai pengulas bola sepak, Joleon Lescott percaya Arsenal tiada peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Sebaliknya, Lesott percaya perlumbaan trofi EPL kini lebih terarah kepada bekas kelabnya, City dan Liverpool.
Dengan saingan berbaki 11 perlawanan, Liverpool kini dipuncak liga dengan 63 mata, diekori rapat City dengan 62 mata.
Manakala Arsenal di tangga ketiga dengan 58 mata, di samping mencatat rekod menakjubkan 26 gol dalam enam perlawanan terakhir mereka.
Bagaimanapun, Lescott tidak melihat momentum yang dibina Arsenal mampu mengejar Liverpool dan City yang terus meraih kemenangan demi kemenangan.
“Faktor pengalaman memainkan peranan dalam usaha Arsenal meraih kejuaraan EPL musim ini.
“Saya fikir mereka terus kempunan trofi EPL kerana mustahil untuk Liverpool dan City mencicirkan mata dalam 11 atau 10 perlawanan selepas ini.
“Ujian sebenar Arsenal adalah selepas cuti rehat antarabangsa apabila mereka berkunjung ke Etihad.
“Sama-sama kita tunggu dan saksikan sama ada anak buah Mikel Arteta dapat mengalahkan penyandang juara,” katanya.
Untuk rekod, The Gunners menamatkan penantian lapan tahun untuk menewaskan City 1-0 semasa separuh pertama musim ini di Emirates.
Musim lalu, Arsenal terlepas kejuaraan EPL selepas dipintas City pada saat akhir.
Kali terakhir Arsenal bergelar juara EPL adalah pada musim 2003/04 di bawah kendalian Arsene Wenger.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28