Arsenal teruskan kemaraan

Paris: Leicester dan Arsenal mara ke kelompok 32 terakhir Liga Europa sebentar tadi.
Jaringan penyamaan Jame Vardy ketika seri 3-3 di Braga membawa Leicester City ke pusingan kalah mati dengan mereka disertai Arsenal yang menang 3-0 di Molde.

Leicester tampak akan tewas apabila Fransergio meletakkan tuan rumah 3-2 di depan pada minit pertama tambahan masa tetapi Vardy kembali menyamakan kedudukan buat kelab Liga Perdana itu seterusnya mara ke kelompok 32 terakhir.

Skuad kendalian Brendan Rodgers kini teratas Kumpulan G dengan 10 mata, tiga di depan Braga di tangga kedua dan tujuh mata mengatasi AEK Athens berbaki dua perlawanan selepas wakil Greece itu tewas 3-0 kepada Zorya Luhansk.

Tottenham Hotspur sama sembilan mata dengan pendahulu Kumpulan J, Royal Antwerp selepas menang 4-0 mengatasi pasukan tangga terbawah, Ludogorets yang masih belum mengumpul sebarang mata.
Kemenangan selesa Spurs dicipta hasil sepakan jarak jauh Harry Winks selepas skuad kendalian Jose Mourinho mendahului menerusi dua gol Carlos Vinícius.
Lucas Moura melengkapkan jaringan pada minit ke-73 ketika pasukan Liga Perdana itu menantikan pertembungan sengit berdepan tetangga London, Chelsea hujung minggu ini.
– AFP

Malay News
sports Desk