London: Mikel Arteta memuji kehebatan bakat Bukayo Saka selepas dua gol penyerang Arsenal itu membantu menewaskan Monaco 3-0 yang meletakkan pasukannya semakin hampir ke peringkat 16 Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Saka menjaringkan gol lewat pada kedua-dua babak di Stadium Emirates sebelum Kai Havertz melengkapkan kemenangan keempat Arsenal dalam enam perlawanan kejohanan elit Eropah.
Gunners menduduki tangga ketiga dalam kumpulan dengan berbaki dua lagi perlawanan ketika mereka memburu slot automatik ke peringkat 16 terakhir menerusi kelompok lapan teratas.
Aksi menentang Dinamo Zagreb dan Girona pada Januari dijangka tidak mengundang masalah Arsenal.
Namun, jika skuad Arteta mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara kali pertama, mereka memerlukan bintang England Saka untuk kekal konsisten.
Pemain berusia 23 tahun itu mempunyai lima gol dalam enam aksi terakhir semua kejohanan dan keseluruhan enam jaringan musim ini selain mencipta beberapa bantuan gol.
Arteta lebih tahu berbanding orang lain betapa Saka semakin meningkat sejak pengendali dari Sepanyol itu mengambil alih tugas pada 2019.
“Dia tampak benar-benar matang. Apa yang dilakukan dalam perlawanan pada usianya memang mengagumkan. Sangat merendah diri, pemain bagus untuk dimiliki serta mempunyai bakat hebat,” kata Arteta.
“Dia pemain istimewa. Kepimpinannya juga meningkat. Dengan pemain lebih muda, dia hebat. Begitu juga ketika dia bersama senior, dia juga hebat. Dia disayangi semua orang dan mampu mencipta perbezaan di atas padang.”
Arsenal menang lima daripada enam aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan tetapi Arteta mengakui mereka masih belum pada tahap terbaik ketika menentang Monaco selepas membazirkan beberapa peluang.
“Kami sepatutnya menjaringkan empat atau lima gol pada babak pertama,” kata Arteta.
Arsenal tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu selepas tewas di tangan Bayern Munich tetapi mereka kini tampak lebih matang dalam saingan Eropah dan Arteta yakin skuadnya mampu menjadi pencabar serius untuk menjulang trofi musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd