Artis tunjukkan 'taring' dalam pertanding pickleball

Artis tunjukkan 'taring' dalam pertanding pickleball

georgie@hmetro.com.my

Bertujuan mengeratkan silaturahim, acara pertandingan pickleball The Power Play (TPP) 2025 berjaya menyatukan ramai selebriti, pengurus artis dan pengamal media.

Berlangsung cukup meriah di Tomaz Pickleball Club, Subang Jaya, Selangor, acara bermula seawal 8 pagi itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik selain agenda utamanya iaitu perlawanan pickleball.

Amat mengagumkan, pasukan artis rata-rata mendominasi kemenangan dan berjaya melangkah ke peringkat seterusnya iaitu suku akhir, separuh akhir dan kemudian penentuan juara keseluruhan.

Pada edisi julung kali TPP ini, penyanyi Ismail Izzani dan pengurus muncul juara, pelakon Imran Aqil naib juara, manakala Ikmal Amry dan isteri merangkap pengurusnya meraih tempat ketiga.

Berkongsi pembabitan sukan itu, Ismail ‘terjebak’ sejak beberapa bulan lalu dan aktif bermain hingga sekarang. Bahkan, dia sudah memiliki lima ‘paddle’ atau pemukul pickelball yang mencecah ribuan ringgit.

“Sudah enam bulan saya bermain. Mula-mula sebab keluarga, main saja-saja. Tiba-tiba saya ‘sangkut’ sebab berkumpul dengan ramai, kawan-kawan lama zaman sekolah, yang lama tak jumpa pun boleh main sekali.

“Saya ada beli dua ‘paddle’ dan tiga lagi dapat tajaan beberapa jenama. Sebuah ‘paddle’ saya baru-baru ini siap kena bida pada harga RM7,000. Kalau kumpul jumlah keseluruhan lima itu, ribuan jugalah,” katanya.

Bagi Imran pula, dia memang aktif mengikuti perlawanan pickleball sejak menyukai sukan terbabit. Daripada penyertaan itu jugalah membuatkan kemahirannya semakin meningkat saban masa.

Namun, untuk TPP, dia bergandingan buat pertama kali dengan pengurusnya dan cuma mengharapkan kepada tuah semata-mata. Justeru, baginya pencapaian naib juara itu agak membanggakan.

“Setakat ini, sudah lebih 10 perlawanan saya masuk tapi tak ada satu pun juara. Kali ini, asalnya saya tak letak harapan sangat tinggi untuk mara ke pusingan seterusnya tidak pernah berpasangan dengan pengurus.

“Kami asalnya main lantak dan ikut tuah saja. Ialah masing-masing sibuk kan. Jadi, pencapaian ini masih lagi membanggakan, cuma banyak perlu dibaikilah dan perlu buat latihan lagi,” katanya.

Sementara, pelakon Ikmal pula memang berhasrat untuk lebih aktif dalam pickleball selepas ini. Dia juga menyangkal bahawa sukan itu yang digilai sejak awal tahun ini hanya untuk golongan berada saja.

“Ini perlawanan pertama saya bergandingan dengan isteri. Mungkin selepas ini, saya akan berpasangan dengan Ismail atau Imran pula untuk ke tahap yang lebih kompetitif.

“Pickleball adalah sukan yang mudah dan mesra. Kalau orang cakap ia sukan T20, itu salah. Terpulang kepada kemampuan belanja untuk bermain, siapa-siapa pun boleh sertai sukan ini,” katanya.

Dianjurkan The Germans Uniteds, juara menggondol tiket percutian ke Perth, Australia, naib juara ke Labuan Bajo, Indonesia, dan tempat ketiga ke Da Nang, Vietnam.

Selebriti lain yang turut memeriahkan saingan adalah pelakon Shahz Jaszle, Zahiril Adzim, Nas-T, Syafiq Farhain, Trisha Ooi, Hariz Hamdan, Ezaidi Aziz, Zarif Ghazzi, Maxximus Towle, Fitri Farok dan Dahlia Rizal.

Media berentap pula adalah Harian Metro, Mstar, Astro Gempak, xtra, Melodi, Kosmo, Utusan Online, Remaja, Selamat Pagi Malaysia, Eh!, Hlive!, OhBulan, dan F8 Buzz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top