Status Kategori B beri cabaran besar buat MESF ke Sukan Asia 2026

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) berdepan cabaran besar untuk membawa skuad negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila status bukan ahli gabungan menyebabkan penyertaan eSukan diletakkan di bawah Kategori B.

Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangat MESF apabila kira-kira RM1 juta diperuntukkan dengan bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan 44 atlet dan lapan jurulatih dapat membuat persiapan terbaik untuk menghadapi temasya berkenaan.

Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin berkata, cabaran utama bukan sahaja membabitkan soal penyertaan, malah memastikan atlet mendapat persiapan secukupnya untuk bersaing dengan kuasa besar esukan Asia.

“Kita perlu berdepan cabaran kerana MESF bukan ahli gabungan dan berada di bawah Kategori B.

“Jadi, banyak perkara perlu kita uruskan sendiri bagi memastikan atlet dapat pergi dan membuat persiapan sebaik mungkin.

“Namun kita tidak mahu perkara itu menjadi alasan, malah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya lima pingat dan sudah tentu kita mengharapkan satu emas,” katanya.

Pada temasya kali ini, Malaysia akan menyertai sembilan daripada 11 acara dengan Arena of Valor (AOV), e-Racing, e-Football, Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) menjadi antara sandaran utama negara.

Naim yang ditemui ketika sesi lawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Sumali Reduan di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini berkata, MESF meletakkan sasaran sekurang-kurangnya lima pingat termasuk satu emas, namun enggan memberikan tekanan berlebihan kepada atlet yang hampir 99 peratus adalah muka baharu berbanding edisi lalu.

Menurutnya, skuad kali ini turut menghadapi cabaran daripada perubahan pantas dalam dunia esukan apabila hampir keseluruhan barisan atlet terdiri daripada muka baharu, sekali gus memerlukan persiapan lebih rapi sebelum ke Nagoya.

Katanya, pemilihan atlet dibuat berdasarkan merit mengikut permainan masing-masing, termasuk ranking liga profesional bagi MLBB, HOK dan PUBG Mobile, manakala e-Racing, e-Football dan Identity V melalui pemilihan dalaman serta prestasi antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top