mhafis@mediaprima.com.my
Puchong: Kegiatan disyaki menyeleweng diesel bersubsidi terbongkar selepas Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas kira-kira 51,900 liter diesel bernilai RM231,993.
Operasi menerusi Op Taring Bravo 1 itu turut menyaksikan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 64 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Puchong, di sini, pada jam 3.30 pagi tadi.
Komander WCB/PSK Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan terhadap premis yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan serta pengendalian diesel bersubsidi tanpa lesen atau permit sah.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh di lokasi diteruskan sehingga kira-kira 1.30 tengah hari.
“Hasil serbuan, pasukan operasi menahan dua lelaki tempatan yang masing-masing dipercayai bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu lori.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan premis menemukan tujuh tangki skid serta tiga lori tangki yang mengandungi diesel dalam kuantiti besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan operasi turut menemukan sebuah pam elektrik bersama hos yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemindahan diesel di premis berkenaan.
Katanya, rampasan membabitkan tujuh tangki skid mengandungi kira-kira 38,000 liter diesel, sebuah lori tangki berkapasiti lima tan mengandungi kira-kira 10,900 liter diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 1.6 tan mengandungi kira-kira 1,000 liter diesel dan sebuah lori tangki berkapasiti 4.5 tan mengandungi kira-kira 2,000 liter diesel.
“Selain itu, sebuah pam elektrik bersama hos turut dirampas.
“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan diesel, tiga lori tangki, tujuh tangki skid serta peralatan berkaitan dianggarkan berjumlah RM919,022.40,” katanya.
Mohd Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki, menyimpan atau menjual barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit sah.
‘Kedua-dua lelaki ditahan bersama semua barang rampasan diserahkan kepada KPDN Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang.
“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan diesel berkenaan, kaedah pemerolehan dan pemindahannya, destinasi pengedaran serta kemungkinan penglibatan individu atau pihak lain.
“Pihak berkuasa juga meneliti dokumen dan rekod berkaitan bagi menentukan tempoh operasi premis serta mengenal pasti keseluruhan rangkaian yang disyaki terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang 1 Januari hingga hari ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melancarkan 241 serbuan di seluruh negara.
“Seramai 415 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh itu dianggarkan RM315,104,274.04.
“WCB/PSK akan terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berpotensi menyumbang kepada perkembangan rangkaian jenayah terancang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
