Seorang pemuda yang sebelum ini dikaitkan dengan kes kematian anjing dikenali sebagai Rocky mengakui masih belum mengetahui jenis pertuduhan yang bakal dihadapinya di Mahkamah Majistret Klang esok.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, mengakui terkejut selepas menerima waran untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan yang dipercayai dibuat mengikut Akta Kebajikan Haiwan.
“Saya memang tidak jangka akan dituduh minggu ini. Saya ada bertanya kepada pihak Jabatan Veterinar mengenai hasil siasatan, namun mereka memaklumkan jenis pertuduhan hanya akan diketahui ketika prosiding esok.
“Saya akan hadir bersama pihak Kumpulan Rukun Tetangga (KRT),” ujarnya.
Shah yang bekerja sebagai penghantar barang menjelaskan, tahap kesediaannya untuk menghadapi prosiding berkenaan hanya sekitar 50 peratus selepas baru menerima waran itu pada Isnin lalu.
“Saya sendiri tidak tahu berapa lama proses (termasuk perbicaraan) ini akan mengambil masa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Shah menegaskan isu kematian Rocky tidak seharusnya dikaitkan dengan sentimen perkauman kerana hubungan antara penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan kekal baik.
“Ini bukan isu perkauman. Orang India di kawasan situ pun okey dengan saya. Saya sudah lebih 10 tahun tinggal di situ dan bekerja sebagai penghantar barang, jadi ramai penduduk di Taman Telok Gedong Indah mengenali saya.
“Saya juga pernah berjumpa dengan wanita yang mendakwa pemilik anjing itu sebelum kejadian, namun selepas insiden tersebut tiada sebarang pertemuan antara kami,” ujarnya.
Mengulas kecaman dan ugutan yang diterima susulan kejadian itu, Shah berkata, dia bersama pihak KRT mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga.
“Kami ada melakukan rondaan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku susulan insiden penangkapan anjing liar itu yang membawa kepada kematian Rocky, termasuk membabitkan keselamatan saya dan keluarga,” jelasnya.
Menurut Shah, kejadian itu turut memberi kesan dan tekanan kepada isteri serta ibunya selepas mereka melihat pelbagai kecaman dan ugutan menerusi siaran langsung di media sosial.
“Impaknya sangat kuat terutama kepada isteri dan ibu saya. Mereka terlalu risau, melihat siaran langsung, ada ugutan bunuh dan mereka menangis tidak berhenti.
“Saya selalu tenangkan mereka supaya banyak bersabar dan berfikiran positif,” ujarnya.
Shah pada masa sama menafikan dakwaan bahawa dia tidak menyayangi haiwan, sebaliknya mengakui dirinya pencinta haiwan dan sering memberi makanan kepada kucing serta anjing terbiar.
“Mereka tahu bagaimana saya dengan haiwan. Saya tidak akan mencederakan atau membunuh haiwan,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan pihaknya sudah menerima arahan pertuduhan berhubung kes kekecohan ketika operasi penangkapan anjing liar sehingga membawa kepada kematian Rocky di Mahkamah Majistret Klang esok.
Kredit Foto: Afiq Razali
Jelas beliau, arahan itu diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan selesai dijalankan.
“Insya-Allah esok dijangka diadakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang. Saya mohon rakan media merujuk pihak mahkamah bagi mendapatkan waktu sebenar pertuduhan.
“Pertuduhan ini dijangka tidak hanya membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama penduduk setempat bertukar kecoh apabila dihalang seorang wanita sebelum membawa kepada kematian Rocky pada 29 Julai lalu.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Yunus Yakkub)
