Keluarga tiga beranak yang maut selepas dirempuh lori milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi mahu siasatan terhadap kejadian itu dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Abang ipar kepada Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, Mohd. Nadzri Razali, 69, berkata keluarga mahu keadilan diberikan kepada semua mangsa selain mendapatkan penjelasan sebenar berhubung kejadian berkenaan.
“Kalau boleh saya mahu siasatan penuh sebab dengar cerita (ketika kejadian) lampu isyarat merah dan kenderaan Jabatan Imigresen itu melintas.
“Minta keadilan untuk arwah dan adik saya serta dua anak mereka (yang terkorban),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Fasa 2, Mambang Di Awan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Shaik Mohd. Firdaus, 53, maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selepas dirempuh lori JIM yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) bagi satu operasi.
Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut terbabit dalam kemalangan itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.
Mohd. Nadzri berkata, keluarga menerima berita mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi dan pada awalnya dimaklumkan hanya dua mangsa terkorban.
“Saya terima panggilan kira-kira pukul 7 pagi. Pada mulanya saya diberitahu dua beranak yang meninggal dunia.
“Kemudian adik saya telefon dengan anak (arwah) yang ada di sini dan dimaklumkan tiga orang yang terkorban. Bila dengar begitu, lagi sedihlah kami,” katanya.

Menurutnya, tragedi itu turut menambah kesedihan keluarga yang masih belum pulih daripada kehilangan seorang lagi anggota keluarga pada Mei lalu.
“30 Mei lalu, adik saya yang ketiga meninggal dunia. Sekarang anak-anak saudara dan adik ipar saya pula terkorban. Saya tengok video (tular) pun rasa sedih,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, antara kenangan terakhirnya bersama mangsa adalah ketika mereka ke tanah perkuburan kira-kira dua minggu lalu bagi membersihkan kubur ibu dan bapanya.
Artikel lain: Tragedi 3 sekeluarga maut dilanggar lori imigresen, JIM serah siasatan kepada polis
Katanya, kenangan itu menjadi antara momen terakhirnya bersama dua anak saudara yang turut terkorban dalam kemalangan berkenaan.
“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku. Anak adik ipar yang bongsu rapat dengan bapanya. Kalau naik motosikal untuk ke sekolah, saya selalu nampak dia peluk bapanya,” katanya.
Sumber: Utusan Online (Asliza Musa)
