Miami Gardens: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dan pilihan ketiga, Coco Gauff mara dengan mudah ke pusingan kedua Terbuka Miami, awal pagi tadi, namun pilihan ketujuh, Elena Rybakina tersingkir selepas tewas kepada pemain Amerika, Ashlyn Krueger.
Aryna menewaskan pemain Bulgaria, Viktoriya Tomova, 6-3, 6-0 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 58 minit, manakala Coco mencatat kemenangan lebih pantas dengan menumpaskan juara Terbuka Australia 2020, Sofia Kenin 6-0, 6-0 dalam tempoh hanya 47 minit.
Bagi Aryna yang tewas di final Indian Wells kepada pemain Rusia berusia 17 tahun, Mirra Andreeva, Ahad lalu, ia adalah permulaan baik dalam usahanya memburu gelaran di Miami.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Keadaan sedikit sukar, dan saya tidak mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan diri, jadi saya gembira dengan persembahan saya hari ini,” kata pemain dari Belarus itu, yang turut mengakui perbezaan ketara antara keadaan di California dan Miami.
“Saya rasa permainan di sini lebih perlahan, mungkin kerana bola lebih berat, dan ia lebih memberi kesan kepada tubuh.
“Tambahan pula, angin bertiup agak kencang. Stadium juga berbeza, semuanya terasa baharu. Saya hanya mempunyai masa beberapa hari untuk menyesuaikan diri, jadi ia agak mencabar, tetapi saya rasa dapat menanganinya dengan baik,” tambahnya.
Sementara itu, Coco yang memulakan musim dengan agak perlahan berkata, segala-galanya berjalan lancar sejak awal perlawanan.
“Saya bermain dengan baik hari ini, dan mungkin lawan saya tidak berada pada tahap terbaiknya. Saya tidak fikir mana-mana pemain yang berada pada tahap terbaik akan mengalami keputusan sebegini, jadi saya tidak akan mengatakan bahawa dia bermain di tahap tertingginya,” katanya.
Pemain Amerika itu, yang mengalami kekalahan mengejut kepada Belinda Bencic di Indian Wells minggu lalu menegaskan dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk membuktikan sesuatu mengenai prestasinya.
“Saya tahu di mana kedudukan saya. Ya, prestasi saya belum mencapai standard saya, tetapi pada masa yang sama, ia baru bulan Mac dan musim kami hanya berakhir pada November. Masih banyak masa untuk memperbaiki permainan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




