
Amerika Syarikat (AS) kembali menjolok sarang tebuan selepas ia membedil sasaran milik Teheran di sekitar Selat Hormuz, sehari selepas pertempuran sengit Israel-Iran dihentikan.
TEHERAN – Amerika Syarikat (AS) kembali menjolok sarang tebuan selepas ia membedil sasaran milik Teheran di sekitar Selat Hormuz, sehari selepas pertempuran sengit Israel-Iran dihentikan.
Tindakan provokasi itu mencetuskan serangan balas dilancarkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang merupakan pertempuran terbesar sejak kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan permusuhan di bawah perjanjian gencatan senjata goyah pada April lalu.
Presiden Donald Trump mengarahkan operasi ketenteraan itu selepas ia menuduh Iran menembak jatuh helikopter Apache berhampiran perairan strategik itu pada Selasa.
Kempen pencerobohan AS itu menyasarkan pertahanan udara, stesen kawalan dan tapak pengawasan radar milik Teheran.
Serangan itu dilancarkan selama empat jam sebelum Pusat Perintah AS (CENTCOM) mengumumkan operasi itu telah ditamatkan selepas 20 sasaran Iran berjaya dibedil.
Sementara itu, IRGC mengesahkan lokasi yang dibom AS termasuk Pulau Qeshm, bandar pelabuhan Sirik di Selat Hormuz dan bandar Abbas.
Sebagai respons tegas, IRGC melancarkan serangan dron dan misil ke atas pangkalan musuh di Bahrain, Kuwait dan Jordan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran mengecam serangan AS di selatan negara itu dan menyatakan tindak balas Teheran hanyalah untuk mempertahankan diri.
“Negara-negara Teluk akan berdepan akibat yang dahsyat jika wilayah mereka digunakan oleh tentera AS atau Israel untuk menyerang Iran,” tegas kementerian itu lagi.
Sementara itu, pegawai di Washington memaklumkan penilaian awal menunjukkan hampir semua peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Teheran telah dipintas.
Selain itu, tiada laporan segera mengenai kecederaan anggota tentera mereka atau kerosakan pada lokasi AS. – Agensi



