AS kerah kapal pengangkut pesawat baharu ke Asia Barat

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar kapal pengangkut pesawat baharu ke Asia Barat bagi menggantikan aset yang dikerahkan ke rantau itu, ketika konflik dengan Iran berlarutan, lapor Institut Tentera Laut AS (USNI).

Kumpulan tempur USS Theodore Roosevelt dijangka berlepas dari San Diego, di pantai barat AS, dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi penugasan lebih tujuh bulan, menurut laporan USNI kelmarin.

Kapal itu akan mengambil alih tugas USS George Washington yang berlepas dari Jepun dan tiba di Asia Barat minggu lalu, menggantikan USS Abraham Lincoln.

Pengerahan USS George Washington berlaku di tengah laporan mengenai tekanan dan cubaan membunuh diri dalam kalangan kru USS Abraham Lincoln, yang berada di laut sejak November 2025.

Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS sebelum ini menolak kebimbangan berhubung keadaan kru berkenaan.

USS Abraham Lincoln pula dijadualkan singgah di Thailand minggu depan untuk memberi peluang kepada kira-kira 5,000 kelasinya berehat dan mendapatkan bekalan.

AS mengekalkan kapal pengangkut pesawat di Laut Arab bagi menjalankan misi serangan terhadap Iran sejak Washington dan Israel melancarkan serangan pada akhir Februari, sebelum ia turut digunakan untuk menguatkuasakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

USNI, sebuah persatuan ketenteraan swasta yang menerbitkan laporan dan penyelidikan mengenai isu keselamatan negara, memetik pegawai kanan termasuk Ketua Operasi Tentera Laut AS, Laksamana Daryl Caudle, sebagai berkata pihaknya berusaha mengurangkan tekanan terhadap anggota dan keluarga yang berdepan tempoh penugasan paling lama dalam beberapa dekad.

Jabatan Pertahanan AS tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen AFP pada Khamis.

Pengerahan USS George Washington dari Jepun bermakna AS kini tidak mempunyai kapal pengangkut pesawat di Pasifik, yang lazimnya menjadi lokasi penempatan aset berkenaan bagi menghadapi China.

USS Abraham Lincoln berlepas dari California pada November 2025 untuk menjalankan tugas di Laut China Selatan, namun kemudiannya diarahkan ke Timur Tengah sebelum serangan AS-Israel terhadap Iran bermula enam bulan lalu.- AFP

Scroll to Top