Sambutan Ambang Merdeka bukan sekadar menanti detik jam 12 tengah malam, sebaliknya menjadi wadah menyatukan rakyat menerusi muzik, budaya dan pengalaman bersama, selain membuka peluang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.
Bagi mencapai hasrat itu, CIMB Bank Berhad (CIMB) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Festival Ambang Merdeka 2026: Malaysia MADANI Kesejahteraan Dinikmati dari 29 hingga 31 Ogos ini di Dataran Merdeka.
Festival selama tiga hari itu dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen hiburan, budaya serta peluang perniagaan untuk komuniti tempatan.
Ketua Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, sokongan terhadap industri seni dan budaya antara pendekatan bank berkenaan dalam menghubungkan komuniti serta mengangkat identiti negara.
Katanya, CIMB menyokong industri seni dan budaya sebagai pemacu hubungan komuniti dan identiti nasional yang juga merupakan antara tonggak utama janji jenama CIMB, Moving You Forward.
“CIMB menyediakan platform untuk artis tempatan dan penggiat seni kebudayaan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.
“Secara tidak langsung, persembahan muzikal ini turut menyokong ekosistem kreatif yang lebih luas dengan menampilkan artis tempatan, pemuzik, kru produksi, jurutera dan pencipta kandungan,” katanya.
Toni berkata, Festival Ambang Merdeka bukan sekadar memberi hiburan kepada masyarakat, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat menghargai kekayaan budaya dan warisan negara serta menghayati perjalanan Malaysia sebagai sebuah bangsa.
“Bagi rakyat Malaysia, sambutan ini adalah peluang untuk berhubung dengan kekayaan budaya tempatan, merenung perjalanan kita bersama sebagai sebuah negara dan mendapat inspirasi mengenai apa yang mampu dicapai secara bersama.
“Ia juga mengetengahkan peranan penting ekonomi kreatif dalam mewujudkan peluang, menyokong kehidupan serta mengukuhkan komuniti.
“Ini selari dengan janji jenama CIMB, Moving You Forward untuk memperkasa dan membawa rakyat Malaysia bergerak maju kehadapan,” katanya.
Konsert Kita Bagi Jadi@Ambang Merdeka 2026 menjadi segmen utama festival ini dan bakal berlangsung pada 30 Ogos, jam 10.30 malam menerusi persembahan muzikal selama 90 minit menjelang detik sambutan kemerdekaan pada tengah malam.
Dikoreografikan pengarah kreatif terkenal, Pat Ibrahim, persembahan bertemakan ‘Menyusuri Sejarah, Memperkasa Semangat’ itu menampilkan artis terkenal tempatan iaitu Aina Abdul, Aman RA, Nadia Aqilah, Asmidar, Haziq Rosebi, Mimifly, Izen Kong dan Pasya.
Persembahan itu melibatkan 350 peserta terdiri daripada penari, pendikir barat dan ahli muzik Orkestra Kuala Lumpur, selain menampilkan tiga lagu baharu.
Menggabungkan elemen muzik, tarian, penceritaan imersif dan persembahan orkestra, konsert itu menjadi penghormatan terhadap perjalanan Malaysia dengan meraikan sejarah, warisan dan kepelbagaian.
Kemuncak malam Ambang Merdeka ialah acara kiraan detik menuju sambutan kemerdekaan pada tengah malam yang disusuli pertunjukan bunga api di Dataran Merdeka, sekali gus menyatukan ribuan rakyat dalam suasana penuh patriotisme dan semangat perpaduan.
Selain itu, festival berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan tempatan dengan menyediakan ruang jualan makanan, minuman dan pelbagai produk tempatan sepanjang tiga hari program.
Peluang itu bukan sahaja memberi pendedahan lebih luas kepada perniagaan terbabit, malah membolehkan usahawan mendekati pelanggan baharu dan memperluaskan pasaran.
CIMB juga membantu PMKS percepatkan usaha pendigitalan menerusi ekosistem serta penyelesaian pembayaran digital yang ditawarkan, sekali gus memudahkan mengurus transaksi dan operasi perniagaan secara lebih cekap.
Melalui peluang disediakan kepada usahawan tempatan sempena sambutan Hari Kebangsaan ini, kerjasama CIMB dan DBKL memperlihatkan bagaimana platform berasaskan komuniti boleh dimanfaatkan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan membina ekosistem keusahawanan lebih inklusif.
Festival Ambang Merdeka 2026 dibuka kepada orang ramai dari 29 hingga 31 Ogos ini di Dataran Merdeka dengan kemasukan adalah percuma.
© New Straits Times Press (M) Bhd

