Sungai Perak: Selamat untuk kegunaan awam

am@hmetro.com.my

Ipoh: Perubahan warna air Sungai Perak kepada hijau kebiruan tidak boleh dijadikan ukuran tunggal untuk menentukan sama ada sungai berkenaan tercemar atau berbahaya kerana tahap kualiti air perlu dinilai berdasarkan parameter dan analisis saintifik.

Hasil penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak terhadap Sungai Perak dan Sungai Rui sebelum ini menunjukkan status keseluruhan kualiti air kedua-dua sungai masih berada dalam kategori Kelas II Indeks Kualiti Air (IKA) Malaysia.

Klasifikasi itu menunjukkan air sungai berkenaan masih sesuai bagi kegunaan yang dibenarkan termasuk sebagai sumber air mentah yang perlu melalui proses rawatan konvensional sebelum dibekalkan kepada pengguna.

Pakar sains alam sekitar, Dr Abdul Rani Abdullah berkata, sampel air Sungai Perak yang diambil ketika fenomena air biru berlaku telah dianalisis berdasarkan lebih 30 parameter bagi menentukan keadaan sebenar kualiti air berkenaan.

Menurutnya, hasil analisis mendapati hampir keseluruhan parameter yang diuji masih berada pada tahap yang membolehkan air sungai berkenaan digunakan bagi kegunaan yang ditetapkan di bawah Kelas II, termasuk rekreasi, perikanan serta sebagai sumber air mentah untuk dirawat.

“Bila kita kata selamat, kita kena tanya, selamat untuk apa? Kalau kita bercakap mengenai air mentah untuk dirawat melalui proses konvensional, berdasarkan data yang kita ada, kualitinya masih berada pada tahap yang membolehkan ia menjalani rawatan konvensional.

“Jika kualiti air itu sesuai untuk dirawat bagi tujuan bekalan air, saya boleh katakan ia juga selamat untuk sistem pertanian,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rani yang juga profesor adjung di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan, status Kelas II tidak bermaksud air Sungai Perak boleh diminum secara terus tanpa melalui proses rawatan.

“Tidak ada air sungai yang sepatutnya diminum secara terus, ia perlu melalui proses rawatan terlebih dahulu,” katanya.

Berhubung insiden ikan mati, Abdul Rani memberitahu, berdasarkan data kualiti air yang diperoleh, kandungan logam yang direkodkan tidak menunjukkan tahap yang cukup tinggi untuk menjadi punca kematian ikan.

Sebaliknya, pemerhatian awal mendapati kejadian itu lebih berkemungkinan mempunyai kaitan dengan peningkatan pepejal terampai khususnya selepas hujan lebat.

Jabatan Perikanan Negeri Perak sebelum ini membuat persampelan air di tiga lokasi kes kematian ikan iaitu di Jeti Pulau Belayar dan Dataran Loma.

“Kalau kita lihat data, kandungan logam itu bukan pada tahap yang serius. Kalau logam itu yang menyebabkan ikan mati, kandungannya perlu berada pada kepekatan yang jauh lebih tinggi daripada apa yang kami rekodkan.

“Berdasarkan pemerhatian dan data yang kami peroleh, kami rasa ia lebih kepada pepejal terampai yang tinggi, terutama selepas hujan lebat,” katanya ketika memberikan taklimat kepada media.

Menurut Abdul Rani, keadaan itu boleh berlaku apabila hujan lebat menyebabkan air larian membawa lumpur, sedimen dan bahan terampai dari kawasan permukaan tanah terbuka ke dalam sungai.

Jelasnya, keadaan itu berpotensi menjejaskan hidupan akuatik apabila kandungan pepejal terampai meningkat dengan ketara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan punca sebenar kematian ikan masih perlu disahkan menerusi kajian khusus kerana analisis kualiti air semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan punca kematian hidupan akuatik.

“Kalau ikan mati, kaedah kajiannya berbeza. Kita perlu tengok ikan itu sendiri, keadaan air ketika kejadian dan buat analisis seperti autopsi untuk mengetahui kenapa ikan itu mati.

“Jadi saya kira kajian khas perlu dilakukan supaya kita dapat data yang lebih langsung mengenai puncanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top