Washington: Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kelegaan selepas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera dan menghormati keputusan Dewan Negara untuk menamatkannya, kata seorang pegawai Rumah Putih pada Selasa.
Seorang jurucakap Majlis Keselamatan Negara (NSC) membuat kenyataan itu selepas Kabinet Yoon meluluskan usul untuk menamatkan pelaksanaan undang-undang tentera, yang diisytiharkan beberapa jam sebelum itu dengan alasan aktiviti “antinegara” oleh pihak pembangkang, lapor Agensi Berita Yonhap.
“Kami lega Presiden Yoon membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera yang membimbangkan itu dan menghormati keputusan Dewan Negara Korea Selatan untuk menamatkannya.
“Demokrasi adalah asas kepada hubungan AS-Korea Selatan, dan kami akan terus memantau situasi ini,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.
Sebelum undang-undang tentera dimansuhkan, jurucakap itu menyatakan bahawa AS “sangat bimbang” dan menegaskan Washington tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pengisytiharan darurat oleh Yoon.
Pengisytiharan undang-undang tentera dibuat selepas parti pembangkang Demokrat meluluskan rang undang-undang bajet yang dikecilkan dalam jawatankuasa bajet parlimen, serta mengemukakan usul pemecatan terhadap seorang juruaudit negara dan ketua pendakwa raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




