WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mana-mana syarikat perkapalan yang membayar tol atau bayaran lain kepada Iran untuk melalui Selat Hormuz berisiko dikenakan sekatan.
Amaran itu dibuat ketika sekatan laut oleh tentera laut AS di selat berkenaan memasuki minggu ketiga, susulan rundingan gencatan senjata AS–Iran yang masih buntu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyifatkan sekatan ke atas pelabuhan negaranya sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.
Pengaruh Iran serta keupayaannya untuk menutup Selat Hormuz muncul sebagai faktor tekanan utama sejurus selepas AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.
Kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak mentah global dan gas asli cecair (LNG) melalui laluan maritim strategik itu.
Dalam cadangan terdahulu untuk menamatkan perang, Iran pernah mencadangkan caj atau tol ke atas kapal yang mahu melalui selat tersebut, namun Washington berulang kali menolak cadangan itu.
Notis amaran daripada Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS menyatakan Iran mungkin menawarkan bayaran dalam bentuk mata wang fiat, aset digital, pampasan, pertukaran tidak rasmi atau bayaran dalam bentuk barangan.
Ia turut menyatakan bayaran itu boleh dilabel sebagai sumbangan amal, termasuk kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Bonyad Mostazafan atau akaun kedutaan Iran.
“OFAC mengeluarkan amaran ini untuk memberi peringatan kepada individu di AS dan bukan AS tentang risiko sekatan jika membuat bayaran kepada, atau meminta jaminan daripada rejim Iran bagi laluan selamat.
“Risiko ini wujud tanpa mengira kaedah pembayaran,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) kedua-duanya masih dikenakan sekatan oleh AS.
Amaran itu dikeluarkan ketika media kerajaan Iran melaporkan Teheran telah menghantar cadangan baharu gencatan senjata berkekalan kepada pentadbiran Trump.
Jurucakap Rumah Putih Anna Kelly berkata, Trump menegaskan Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan rundingan akan diteruskan untuk memastikan keselamatan nasional AS jangka pendek dan panjang.
Kedua-dua pihak sebahagian besarnya telah menghentikan serangan sejak mencapai persetujuan sementara untuk menghentikan pertempuran pada 7 April. Trump berulang kali mengugut untuk menyambung semula serangan jika rundingan gagal.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Teheran masih terbuka kepada diplomasi dengan AS jika Washington mengubah pendekatan perluasan kuasa dan retorik ancaman.-AGENSI




