WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengarahkan 55 kapal komersial mengubah haluan, melumpuhkan dua kapal dan menaiki dua lagi kapal sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan sekatan AS terhadap Iran, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM) pada Ahad.
CENTCOM dalam hantaran di platform media sosial X berkata, anggota tentera laut AS sedang berkawal di USS Ross (DDG 71), antara lebih 20 kapal perang AS yang dikerahkan ke Asia Barat bagi menyokong operasi ketenteraan, termasuk penguatkuasaan sekatan berkenaan.
Bagaimanapun, CENTCOM tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kapal terbabit atau keadaan yang membawa kepada tindakan tersebut.
Iran terlibat dalam konflik dengan AS sejak Februari lalu selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Teheran.
Iran kemudian membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu terhadap negara-negara Teluk yang menjadi lokasi aset ketenteraan AS.
Kedua-dua negara mencapai gencatan senjata pada April sebelum menandatangani memorandum persefahaman yang dipengerusikan Pakistan pada Jun, bertujuan menamatkan konflik ketenteraan dan mencapai perjanjian damai berkekalan.
Bagaimanapun, perjanjian itu gagal dipertahankan bulan lalu apabila AS dan Iran kembali saling menyerang selama hampir dua minggu.
Presiden AS, Donald Trump, kemudian secara mengejut menghentikan serangan ketika muncul laporan mengenai rundingan bagi menyelesaikan konflik berkenaan.- ANADOLU


