WASHINGTON: Penguat kuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS) menyekat dua laman sesawang berita Iran, Press TV dan Al-Alam serta saluran televisyen Al-Masirah milik pemberontak Houthi, Yaman, dalam kenyataan disiarkan di laman web itu semalam.
Kedua-dua laman sesawang itu hanya memaparkan halaman dengan tertera ‘laman web ini disekat kerajaan Amerika Syarikat (AS)’ sambil merujuk undang-undang sekatan AS berserta logo Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Perdagangan AS.
Press TV adalah stesen penyiaran berbahasa Inggeris utama di Iran, dan Al-Alam penyiar berita utama berbahasa Arab.
Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), stesen penyiaran induk, Al-Alam, melaporkan domain laman sesawang lain, termasuk stesen penyiaran yang dikendalikan Palestin, Palestin-Al Youm dan saluran agama dan budaya berbahasa Arab juga disekat.
Domain laman sesawang yang terikat dengan kumpulan yang disokong Iran di Iraq dan Hizbullah, Lubnan, juga menerima nasib sama dengan arahan Jabatan Kehakiman AS.
IRIB menuduh AS menghalang kebebasan bersuara dan bergabung dengan Israel dan Arab Saudi untuk menyekat saluran media pro-penentang yang mendedahkan jenayah sekutu AS di wilayah Asia Barat.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price ketika ditanya mengenai penyitaan Press TV, berkata beliau enggan mengulas dan meminta wartawan Jabatan Kehakiman AS akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Stesen TV LuaLua Bahrain, saluran yang dikendalikan oleh kumpulan pembangkang dengan pejabatnya berpangkalan di London dan Beirut juga ditutup, menurut seorang wartawan AFP di wilayah itu.
Di Yaman, pemberontak Houti menerusi laman web sayap politiknya, mengutuk tindakan sekatan oleh AS itu.
“Kerajaan AS menyekat laman sesawang Al-Masirah tanpa sebarang justifikasi atau pemberitahuan terlebih dahulu,” katanya.
Menurut wartawan AFP, A-Masirah dengan segeranya mewujudkan laman sesawang baharu, menggunakan namanya tetapi menukar domain.net kepada .com, manakala LuaLua dan Al-Masirah terus menyiarkan program baharu. -AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




