AS serang infrastruktur Iran pada waktu malam

AS serang infrastruktur Iran pada waktu malam

TEHERAN: Serangan maut Amerika Syarikat (AS) pada waktu malam menyasarkan sebuah lapangan terbang, sebuah stesen kereta api dan dua jambatan di Iran, mengorbankan tiga orang, menurut media kerajaan Iran pada Jumaat.

AS dan Iran terus berbalas serangan ketika kedua-dua musuh itu bertempur bagi menguasai laluan perairan strategik Selat Hormuz dalam konflik baharu berlaku di Asia Barat.

Serangan AS ke atas dua jambatan di wilayah Hormozgan mengorbankan tiga orang dan mencederakan sembilan lagi, menurut televisyen kerajaan menerusi Telegram, yang mengemas kini angka korban sebelum ini.

“Tiga letupan kedengaran di sekitar lapangan terbang dan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu musuh Amerika mengenai Lapangan Terbang Iranshahr,” kata televisyen kerajaan IRIB menerusi Telegram.

“Beberapa minit lalu, Stesen Persimpangan Kereta Api Bandar Abbas menjadi sasaran musuh Amerika. Menurut laporan ini, dua rakyat Iran cedera dalam serangan itu,” lapor agensi berita Mehr menerusi Telegram.

Satu lagi serangan AS turut mencederakan seorang individu di bandar pelabuhan Bushehr di barat Iran, menurut media kerajaan Iran menerusi Telegram. – AFP

Scroll to Top