mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan selepas didakwa terbabit kes pemerasan RM5,000 terhadap seorang lelaki di sebuah restoran nasi kandar di Bukit Bintang, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, lelaki itu dimaklumkan rakan sekerjanya ditahan oleh anggota polis kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan pusat panggilan dengan mendakwa majikannya seorang lelaki warga China menjadi buruan dan mempunyai rekod orang dikehendaki di Kemboja serta China.
Menurutnya, mangsa hadir bertemu rakan dan mendapati kenalannya itu bergari sebelum dibebaskan selepas sejam.
“Mangsa juga menyatakan dipaksa menyerahkan wang RM5,000 kepada pihak polis di restoran terbabit.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis terhadap anggota polis yang menggaru tangan rakannya serta mengugut meminta wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu polis menahan pegawai terbabit dan merampas telefon bimbitnya.
“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Siasatan juga mendapati suspek ada berhubung dengan seorang lelaki dan ditawarkan RM300,000 sekiranya dapat menahan majikan mangsa kerana dikehendaki atas kesalahan penipuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




