Kuantan: Pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter akan melaksanakan latihan penerbangan taktikal bermula esok hingga 18 Sept di Pangkalan Udara Kuantan serta ruang udara sekitar Pahang.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan itu sebagai persiapan demonstrasi dinamik sempena Perbarisan Hari ATM ke-92 pada 20 Sept serta Karnival Kerjasama Awam Tentera (CIMIC) pada 20 dan 21 Sept di pangkalan berkenaan.
“Demonstrasi dinamik ini akan mempamerkan keupayaan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara dan melaksanakan operasi menyelamat tebusan daripada pihak musuh. Beberapa letupan turut akan diadakan semasa demonstrasi itu,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat terbang rendah atau terdengar bunyi letupan sepanjang tempoh latihan berkenaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan Hari ATM ke-92 pada 20 dan 21 Sept bertemakan “Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa” yang menampilkan pameran statik aset ATM serta demonstrasi dinamik secara langsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




