ATM tubuh Pasukan Petugas Anti Buli, perkukuh disiplin, tatakelola organisasi

ATM tubuh Pasukan Petugas Anti Buli, perkukuh disiplin, tatakelola organisasi

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil langkah tegas dan menyeluruh bagi membanteras gejala buli dengan menubuhkan Pasukan Petugas atau Task Force (TF) Anti Buli ATM sebagai usaha memperkukuh profesionalisme, disiplin dan tatakelola dalam organisasi pertahanan negara.

ATM berkata, inisiatif diilhamkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman itu selaras dengan Tonggak Kedua dalam Perintah Ulung beliau di bawah Tatakelola Tuntas, Integriti Terpelihara yang menekankan kepentingan memperkukuh sistem pengurusan organisasi, integriti serta kesejahteraan warga ATM.

“Panglima Angkatan Tentera menegaskan budaya buli tidak boleh dikompromi kerana ia bukan sahaja menjejaskan disiplin dan moral anggota, malah berpotensi memberi implikasi terhadap kesiapsiagaan operasi, keberkesanan pemerintahan serta imej institusi pertahanan negara.

“Penubuhan TF Anti Buli ATM bertujuan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa dan trend kes buli dalam ATM.

“Ia termasuk menilai keberkesanan dasar, prosedur operasi standard (SOP), mekanisme pelaporan serta langkah penguatkuasaan sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan sistemik dan ruang penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut ATM, TF Anti Buli ATM ini menghimpunkan wakil daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM melibatkan Darat, Laut dan Udara serta beberapa formasi dan bahagian berkepentingan.

Katanya, ia termasuk aspek perundangan, polis tentera, psikologi, kaunseling, keselamatan dan pengurusan risiko.

“Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan setiap tindakan pencegahan, pemantauan dan pengendalian kes dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, sistematik dan berkesan di semua peringkat organisasi.

“Sebagai langkah awal, analisis menyeluruh terhadap data dan statistik kes buli dari 2022 hingga April 2026 sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti trend semasa, faktor penyumbang serta cabaran pengurusan di peringkat unit dan formasi.

“Usaha tersebut turut melibatkan lawatan lapangan bersasar ke unit-unit yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi memastikan tindakan intervensi dan pemantauan dapat dilaksanakan secara lebih holistik dan berfokus,” katanya.

ATM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Strategik Anti-Buli ATM yang akan menjadi panduan komprehensif dalam memperkukuh struktur pelaporan, pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan secara berterusan.

Katanya, pelan tersebut dijangka memperkemaskan lagi mekanisme pengurusan disiplin sedia ada demi memastikan persekitaran perkhidmatan yang lebih selamat, profesional dan kondusif kepada seluruh warga ATM.

“Bagi memastikan setiap aduan dapat disalurkan secara selamat dan telus, ATM turut menyediakan beberapa saluran rasmi termasuk talian telefon, e-mel rasmi, sistem SISPAA ATM, surat rasmi serta aduan secara bersemuka melalui Bahagian Inspektorat Jeneral ATM.

“Setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diuruskan secara profesional tanpa kompromi terhadap mana-mana bentuk pelanggaran disiplin.

“ATM kekal komited memastikan budaya profesionalisme, integriti dan kepimpinan yang sihat terus menjadi teras kekuatan organisasi, selaras dengan aspirasi memperkukuh ATM sebagai institusi pertahanan negara yang berwibawa, dihormati dan sentiasa diyakini rakyat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top