NGO gesa polis siasat dakwaan kaitkan Rafizi dengan dana asing lebih RM1.5 juta

NGO gesa polis siasat dakwaan kaitkan Rafizi dengan dana asing lebih RM1.5 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis perlu melakukan siasatan segera berhubung dakwaan yang mengaitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan aliran dana asing melebihi RM1.5 juta.

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dakwaan itu bersifat serius kerana membabitkan campur tangan pihak luar dalam politik tempatan, sekali gus dapat mengancam kedaulatan negara.

“Saya minta polis untuk membuat siasatan segera berdasarkan laporan yang telah dibuat bersama bukti-bukti yang dikemukakan.

“Pihak berkuasa diharap dapat menyiasat kerana disyaki terdapat unsur pengkhianatan atau ancaman terhadap keselamatan negara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Tindakan pihak berkuasa adalah penting demi menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia daripada campur tangan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SekPur telah membuat laporan polis berhubung video tular mengaitkan Rafizi dengan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara menerusi sebuah proksi tempatan.

Menurut Shahbudin, nama Ahli Parlimen Pandan itu didakwa sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam penggunaan dana berkenaan.

“Dana berkenaan didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif radikal di media sosial dan demonstrasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia.

“Tindakan itu dipercayai mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pihak berkuasa mempunyai maklumat berkaitan dakwaan berkenaan.

“Harap ada pendedahan dan tindakan segera daripada pihak keselamatan. Jika terbukti benar, ia adalah ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top