Shila Amzah puji kesungguhan Jee jayakan konsert

Shila Amzah puji kesungguhan Jee jayakan konsert

am@hmetro.com.my

Seri Kembangan : “Perkara paling saya kagumi ialah ketulusan dan keikhlasannya untuk tetap meneruskan persembahan walau dalam keadaan apa sekalipun.”

Demikian luahan penyanyi, Shila Amzah ketika diminta mengulas persembahan idolanya yang juga penyanyi, Fauziah Latiff yang tetap cekal menyempurnakan Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu.

Shila, 36, berkata, keberanian Fauziah atau mesra disapa Jee untuk terus menyelesaikan persembahan walaupun kemampuan vokalnya tidak lagi seperti pada era kegemilangannya dulu adalah sesuatu yang sangat wajar dihargai.

“Apabila melihat keadaan Kak Jee ketika konsertnya tempoh hari, itu sesuatu yang sangat wajar dihargai kerana pada usianya sekarang, lagu-lagu nyanyiannya pula bukan mudah untuk dibawakan.

“Walaupun sudah diturunkan ‘key’, ia masih lagi susah untuk dinyanyikan,” katanya ketika ditemui pada majlis Iseigur Global Strategic Launch 2026 di Confetti KL Pusat Perdagangan Mines 2 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Shila, kebanyakan lagu dendangan Fauziah sememangnya mempunyai tahap kesukaran yang tinggi dan memerlukan kekuatan vokal luar biasa untuk disampaikan dengan baik.

Kata Shila, dia juga berharap Fauziah tidak terlalu terkesan dengan komen negatif segelintir netizen yang mempertikaikan persembahannya.

“Memang lagu-lagu, Kak Jee bernada tinggi dan bukan kategori lagu yang mudah. Kebanyakan lagunya juga sangat sesuai untuk pertandingan, jadi sebagai penyanyi, saya sangat memahami cabaran itu.

“Saya harap Kak Jee tidak terlalu terasa hati dengan segala komen orang. Mungkin dia boleh jadikan perkara itu sebagai pembakar semangat kerana apabila bercakap soal vokal, insya-Allah ia masih boleh dilatih dan diperbaiki,” katanya.

Pada masa sama, Shila menyifatkan Fauziah sebagai figura yang memberi warna kepada industri muzik termasuk peminatnya sejak era 1980-an hingga 1990-an.

“Siapa yang tidak membesar dengan lagu-lagunya, mungkin tidak akan memahami perkara ini. Tetapi mereka yang membeli tiket dan hadir pada malam itu sebenarnya sangat menikmati persembahannya.

“Walaupun kebanyakan peminat Kak Jee sekarang mungkin berusia 40-an hingga 50-an, apabila duduk melihat Kak Jee menyanyi, mereka terus terimbau kembali saat ketika berusia 15 tahun dahulu. Itulah magis muzik,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Threads, Shila meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat menghadiri konsert Fauziah berikutan komitmennya menjayakan konsert sendiri di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top