georgie@hmetro.com.my
MENJADI penyanyi rap wanita paling diraikan di Jepun sekarang, Awich terus membuktikan bahawa bakat hip hop Asia sememangnya bukan calang-calang. Karya dihasilkannya sentiasa bertaraf antarabangsa.
Awich, 39, bukan saja kian besar lagi namanya, bahkan memiliki pengikut setia yang sentiasa membeli tiketnya. Dia antara penyanyi ‘sold out’ setiap kali mengadakan konsert di negaranya.
Pencapaian itu akuinya terlalu besar jika mengimbau kembali pergelutan hidupnya untuk sampai ke tahap sekarang. Terlalu banyak dugaan yang menimpanya sehingga pernah hampir putus asa dalam muzik.
Bagaimanapun, dia bersyukur naluri sebagai anak seninya tidak pernah bernoktah. Awich sejujurnya tidak menyangka kebangkitan kembali merencana karier muziknya berhasil lumayan.
“Ada waktu-waktu timbul keraguan dalam diri. Saya mengambil masa rehat selama 10 tahun apabila baru berkahwin. Kemudian saya mendapat anak perempuan, suami saya kena bunuh dan kemurungan agak lama.
“Saya tidak lakukan apa-apa dalam 10 tahun itu dan hampir putus asa terhadap muzik. Tiada apa-apa yang saya harapkan akan berlaku atau kebangkitan itu akan berhasil.
“Apa yang saya cuma lakukan adalah teruskan berkarya kerana saya sangat suka menulis lagu, lirik dan puisi. Perihal itulah yang membuatkan semangat saya terus hidup,” katanya.
Sejak kecil lagi, Awich memang sudah menanam impian untuk bersinar sebagai penyanyi yang berjaya. Dia bahkan ada diari khas untuk mencatat segala cita-cita yang harus dicapainya.
Baginya, tidak sia-sia dia menyemat tulisan-tulisan mengenai hal yang ingin digapainya dalam hidup itu. Biar dirundung keraguan, namun tidak menjadi pematah semangatnya untuk terus kejar impian.
“Kalau menyentuh pasal karier (muzik), saya tidak pernah jangka akan menjadi sebesar sekarang. Walaupun bila buka balik diari waktu zaman kanak-kanak dan remaja, saya sentiasa menulis mengenainya.
“Pada usia 12 hingga 17 tahun, saya sentiasa bercerita mengenai impian untuk menyelamatkan Okinawa, Jepun, membawa perubahan dalam dunia, dan hal-hal yang cukup besar sebegitu.
“Jadi, saya rasa semangat itu sentiasa ada dalam diri saya meskipun diduga pengalaman turun naik kehidupan serta waktu-waktu di mana saya kurang percaya terhadap diri-sendiri,” katanya.
Tarikh 28 Februari lalu juga menjadi detik penting dalam kerjaya Awich. Dia melancarkan lagu berjudul Asian State of Mind yang diangkat ke tahap lebih tinggi menampilkan nama-nama hebat.
Dia bekerjasama dengan penyanyi rap lain iaitu Jay Park dari Korea Selatan, KR$NA (India), Masiwei (China), dan VannDa (Kemboja). Projek itu tanda kesatuan artis hip hop Asia yang cukup kukuh.
Dia mengakui pengalaman menjayakan Asian State of Mind amat istimewa sekali. Ideanya tercetus secara kasual selepas keluar melepak bersama rakan-rakannya itu di mana-mana pun.
“Kami memang sentiasa berkawan dan akan bertembung di pelbagai acara. Kami akan lepak bersama apabila mereka datang Tokyo, dan sebaliknya kalau saya ke negara mereka.
“Isi perbualan kami sentiasa berkisar mengenai corak pemikiran dari Asia, kebangkitan kita, dan sebagainya. Jadi bila saya cipta lagu itu, saya terus terfikirkan empat nama itu,” katanya.
Menurut Awich, percaturan menampilkan empat rakannya itu benar-benar mengangkat lagi taraf lagu itu. Dia memang cukup bersyukur proses mengajak mereka terbabit tidak rumit pun.
“Harapan saya terhadap hasil akhir lagu itu pun memang sudah cukup tinggi. Saya bercakap mengenai kualitinya dan percaya ia sah akan menjadi lagu yang benar-benar bagus hasilnya.
“Persoalannya lebih kepada adakah hasrat saya memujuk mereka setuju akan berhasil? Jadi, saya sendiri menghubungi, memujuk, dan memastikan mereka untuk turut serta dalam projek itu.
“Tiada seorang daripada mereka pun yang menyusahkan saya. Sebaliknya, mereka terus setuju melakukannya. Itulah perihal yang cukup indah mengenai ikatan antara kami semua,” katanya.
Dalam pada itu, Awich semakin seronok apabila meneroka kemampuan dirinya untuk mempelbagai cara berkarya pada kala ini. Ternyata, tiada silibus khas yang termaktub untuk seseorang penulis lagu.
Baginya corak kreativiti dalam menghasilkan muzik itu terlalu luas. Dia sendiri seronok apabila kebebasan begitu meningkatkan lagi mutunya sebagai pencerita dalam setiap lagu dihasilkan.
“Kita kena cuba bermacam cara. Sebagai contoh, idea itu boleh datang secara spontan dan bebas. Kemudian dari situ biarkan ia berkembang secara lancar, nikmati setiap hasilnya.
“Ada lagu yang perlu dibuat mengikut struktur pula. Struktur itu direka seperti menulis cerita atau filem. Dua pendekatan itulah melekat pada saya sekarang dan siapa tahu yang ketiga pula bagaimana?,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




