najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh, menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan pengarah hebat, Syafiq Yusof serta dua atlet Muay Thai terkenal, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dan Mikail Ghazali Zulfikar dalam filem aksi thriller bertemakan penjara dan banduan.
Ayu berkata, dia tertarik untuk bekerjasama dengan Syafiq kerana kredibiliti dan sentuhan magis pengarah itu, manakala pasangan atlet adik-beradik itu pula mempunyai personaliti yang menarik untuk digilap.
“Saya suka cara Syafiq mengarah filem aksi. Dia mempunyai kreativiti luar biasa dan tahu bagaimana membentuk jalan cerita yang menarik serta babak aksi yang realistik.
“Setiap filem arahannya ada identiti tersendiri dan sentiasa mendapat sambutan luar biasa penonton. Sebab itu saya rasa dia adalah individu paling sesuai untuk projek ini.
“Selain itu saya berhasrat untuk menyunting Johan Ghazali dan adiknya, Mikail, sebagai pelakon. Pemilihan mereka bukan kerana mereka juara Muay Thai, tetapi kerana karisma dan latar belakang mereka dalam dunia sukan tempur.
“Saya mahu elemen aksi dalam filem ini nampak lebih realistik dan bukan sekadar lakonan semata-mata. Johan dan adiknya sudah biasa bertarung di gelanggang sebenar, jadi saya yakin mereka boleh membawa watak dengan penuh kredibiliti,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis itu ialah puteri kesayangannya yang juga pelakon, Wanna Ali.
Dalam suasana penuh meriah, Ayu meluahkan rasa syukur kerana dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan media saban tahun sempena Ramadan.
“Saya dan Wanna sangat gembira dapat bertemu rakan-rakan media. Pertemuan sebegini sudah menjadi acara wajib setiap tahun.
“Allah memberikan pelbagai dugaan dalam tempoh dua tahun ini tetapi saya percaya Allah Maha Menyayangi. Sentiasa ada rezeki yang diberikan. Sentiasa ada yang menyayangi kami sekeluarga.
“Bagi saya, menghormati dan saling menjaga itu adalah perkara paling penting. Jangan hanya mencari seseorang ketika ada kerja, tetapi melupakan mereka apabila rezeki sudah ada. Allah sayang kita semua. Silaturahim juga adalah satu bentuk rezeki,” katanya.
Selain perancangan untuk filem aksi thriller itu, Ayu turut mengumumkan projek baharu yang bakal diterbitkan, termasuk sebuah drama bertemakan badan beruniform dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Barisan pelakonnya terdiri daripada nama-nama hebat seperti Eidil Putra, Rita Rudaini, Rita Nadira, Akhirin, Zack Zaki, Mustaqim Bahadun dan Nizam Zaidi.
Katanya, dia juga mahu mempelawa bekas Menteri Kesihatan yang juga penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin sebagai pelakon cameo.
Selain itu, Ayu turut berbangga dengan kejayaan drama terbitannya, Bukan Sekadar Lafaz 2, yang mencatatkan tontonan tinggi dan mendapat maklum balas baik daripada penonton di TV3.
Dalam pada itu, Ayu memberitahu Selepas Drama Bukan Sekadar Lafaz 2, Pencil Pictures Sdn Bhd telah menyiapkan dan menerbitkan drama baharu berjudul Mawar Dahlia yang menampilkan Wanna sebagai watak kembar dan pelakun baru, Zack Zaki untuk ditayangkan di platform iQIYI selama 12 episod.
© New Straits Times Press (M) Bhd




