am@hmetro.com.my
Gua Musang: Bomba mengambil masa dua jam bagi mengeluarkan pemandu dan penumpang sebuah treler yang tersepit apabila kenderaan dinaiki bertembung sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu, pemandu treler berusia 23 tahun dan penumpang cedera pada tangan dan kaki.
Sementara, pemandu lori berusia 28 tahun mengalami luka ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, treler berkenaan dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah lori dari arah sama cuba membuat pusingan U di kawasan tanah lapang.
“Selepas membuat pusingan U dibuat, pemandu lori cuba masuk kembali ke laluan utama dan ingin menghala ke arah Gua Musang.
“Namun, pada masa sama sebuah treler dari arah Gua Musang yang berada di laluan sah tidak sempat mengelak dan berlaku pertembungan sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, pemandu dan penumpang treler tersepit dan pihak bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa.
Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapat rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Rule 13 LN 166/59,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



