Azizulhasni, Khairul sudah sedia gegar Tokyo

Azizulhasni, Khairul sudah sedia gegar Tokyo

bhsukan@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Azizulhasni Awang percaya resipi yang bakal diterjemahkan jurulatihnya, John Beasley mampu membawa pulang pingat pada pentas Olimpik Tokyo yang bakal membuka tirainya pada 23 Julai ini.

Pelumba basikal trek digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu yang akan bersaing bagi acara keirin dan pecut dalam tempoh lima hari berturut-turut, tetap tenang dan bersedia dalam misi memburu pingat emas pertama negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Katanya, tempoh berbaki seminggu sebelum berangkat ke Tokyo pada 25 Julai ini begitu penting buatnya untuk mengekalkan momentum terbaik selain menjaga tahap kecergasan dan kesihatan.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun berkata, kini semua persiapan akhir berjalan dengan lancar bawah kendalian Beasley selain bebas daripada sebarang kecederaan.

“Bagi acara pecut akan bermula pada 4, 5 dan 6 Ogos sebelum meneruskan cabaran dalam acara keirin pada 7 dan 8 Ogos. Jadi sudah pasti jadual perlumbaan agak padat. Tapi saya sebenarnya sudah bersedia sepenuhnya sambil mengharapkan doa daripada seluruh peminat negara agar kejayaan mengiringi kami lebih-lebih lagi dengan situasi pandemik COVID-19.

“Tapi saya sanggup berkorban untuk membawa pulang kejayaan buat negara,” katanya ketika bercakap dalam Majlis Amanat Negeri menerusi sidang video bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Turut serta dalam majlis itu adalah tiga lagi atlet kelahiran Terengganu yang bakal bertarung di Olimpik Tokyo iaitu Khairul Anuar Mohamad (memanah), Azreen Nabila Alias (100 meter) dan atlet berbasikal Paralimpik, Zuhairie Ahmad Tarmizi.

Turut serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.

Sementara itu, Khairul Anuar yang bertolak ke Tokyo pada hari ini berkata, setakat ini semua persiapan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah sebelum memulakan aksi pada 23 Julai ini.

Atlet kelahiran Kemaman yang juga atlet tunggal lelaki dalam acara memanah sedia menyahut cabaran dalam misi menghadiahkan kilauan pingat buat negara.

“Persiapan sekarang tiada masalah, sudah sedia 100 peratus. Cuma sekarang saya fokus kepada simulasi sebelum kejohanan bermula, namun saya harapkan seluruh peminat negara dapat mendoakan agar dapat melakukan yang terbaik selain dijauhi COVID-19,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top