Azlan tumbang di Kangar, Fathul Bari Ketua UMNO Bahagian baharu

Azlan tumbang di Kangar, Fathul Bari Ketua UMNO Bahagian baharu

KANGAR: Datuk Fathul Bari Mat Jahya berjaya memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar selepas menewaskan penyandang, Datuk Seri Azlan Man dalam pemilihan parti itu.

Fathul Bari memperolehi sebanyak 368 undi jauh meninggalkan Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang hanya memperolehi sebanyak 179 undi.

Kemenangan Fathul Bari itu turut menamatkan dominasi dua penggal bekas Menteri Besar itu sebagai Ketua UMNO Bahagian berkenaan sejak 2014.

Dalam pada itu, jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar pula dimenangi oleh Hamunir Hamzah selepas menewaskan Hamizan Hassan dan Zainudin Osman dalam pertembungan sengit.

Manakala Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar pula dimenangi oleh Kamarudin Malek selepas menewaskan Harmizan Abd Halim, Abu Bakar Sadiqin Hazim dan Che’ Omar @ Umak Bahari.

Bagi pemilihan sayap sebelum ini, jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kangar dimenangi oleh Azihani Ali manakala Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Puteri UMNO Bahagian masing-masing dimenangi oleh Saiful Fariddil Jasmi serta Nor Siti Hajar Razali.

Sementara itu, Fathul Bari berkata, kemenangan beliau bukannya merupakan satu kegembiraan hakiki memandangkan terdapat tanggungjawab besar perlu digalas bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO Bahagian Kangar selepas ini.

“Pada saya bukan soal menang atau kalah, Azlan juga sendiri mempunyai sumbangan besar dalam gerak kerja politik di Kangar dan Perlis tapi mungkin kali ini ahli ingin melihat pembaharuan.

“Dan oleh itu, saya akan laksanakan tanggungjawab ini secara serius dengan memfokuskan bagi memperkasakan dan merevolusikan kembali UMNO buat rakyat Kangar serta negeri Perlis,” katanya.

Di samping itu, Fathul berkata, tiga komitmen beliau pertamanya sudah pastinya dalam soal pemerkasaan parti serta  kebajikan akar umbi yang juga akan menjadi keutamaan.

“Pelan terdekat saya pula UMNO Bahagian Kangar ini belum ada pejabat lagi, jadi sudah tentunya untuk menjadi simbolik kepada kebangkitan baharu, saya hendak realisasi perkara itu dahulu.

“Pejabat itu juga bakal menjadi pusat sehenti bagi merencanakan perancangan yang telah dirangka sejak awal bagi kebaikan UMNO Bahagian itu yang sifatnya cakna kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN