razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Gelagat lucu, manja dan ‘pandai menjawab’ seekor burung kakak tua di kios foto di Zoo Taiping and Night Safari, Perak mencuri perhatian ramai apabila videonya bermain serta ‘bergaduh manja’ dengan jurugambar yang menjaganya tular di media sosial.
Burung kakak tua bernama Baby itu bukan sahaja aktif dan suka bermain, malah bijak meniru percakapan serta tingkah laku manusia, menjadikan setiap interaksi bersamanya mencuit hati sesiapa sahaja yang melihat.
Keakraban Baby dengan Nurul Fazieda Badrulnisham, 23, yang bertugas sebagai jurugambar di kios foto Amjad Khan Enterprise menarik perhatian ramai.
Nurul Fazieda sejak mula bekerja di situ pada Disember 2024 sudah lali dengan keletah Baby yang penuh aksi menghiburkan dan sering menceriakan suasana di kios.
Katanya, Baby sangat rapat dengannya sehingga burung itu memanggilnya ‘kakak.’
“Baby antara haiwan yang ditempatkan di kios foto bersama beberapa haiwan lain untuk memberi peluang kepada pengunjung mengabadikan kenangan dengan haiwan.
“Baby berusia empat tahun berasal dari Amerika Selatan, manakala seekor lagi burung cockatoo bernama Jambo yang berusia lapan tahun berasal dari Australia.
“Kedua-duanya mempunyai karakter berbeza. Baby lebih aktif, manakala Jambo lebih lemah lembut dan ‘sopan,” katanya.
Menurutnya, Baby paling aktif pada sebelah pagi dan petang, selain memiliki keunikan mudah belajar bercakap dan meniru gelagat penjaganya tanpa disuruh.
Katanya, antara perangai lucu Baby adalah ‘bergaduh manja’ dengannya ketika dia sedang melayan pelanggan.
“Ketika saya sedang berbual dengan pelanggan, ia akan menyampuk dan membuat bising dengan memanggil ‘kakak.’
“Ia sangat mahir menyebut ‘kakak’ kerana setiap hari mendengar saya membahasakan diri dengan panggilan itu apabila berinteraksi dengannya. Kadang kala saya pura-pura membebel dan dia membalas seolah-olah mengajuk saya,” katanya.
Jelasnya, tujuan dia memuat naik video Baby hanyalah untuk mempromosikan kios foto serta menarik lebih ramai pengunjung mendekati haiwan di Zoo Taiping and Night Safari.
“Saya mahu orang ramai faham kelakuan haiwan. Di sini, pengunjung diberi peluang memegang haiwan-haiwan yang kami sediakan.
“Tapi saya tidak sangka video Baby mendapat sambutan menggalakkan dan menerima banyak komen positif serta permintaan menghasilkan lebih banyak kandungan bersama burung itu,” katanya.
Nurul Fazieda berkata, spesies burung kakak tua seperti Baby sememangnya memerlukan penjagaan rapi termasuk pemakanan seperti pelet dan buah manis, selain memastikan ia tidak tertekan kerana burung ini sangat sosial dan sensitif.
“Sekiranya stres, burung seperti Baby boleh mengalami kemurungan dan akhirnya mati. Sebab itu ia perlu banyak berinteraksi dan sentiasa ada peneman,” katanya.
Dia berharap perkongsian kandungan positif di media sosial bukan hanya dapat menghiburkan orang ramai malah mampu menarik lebih ramai masyarakat mendekati dan menyayangi haiwan.
“Saya mahu orang ramai melihat sisi unik setiap haiwan, bukan sekadar rupa tetapi juga tingkah laku mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




