Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, tampil menolak cadangan seorang individu yang meminta program realiti nyanyian paling berpengaruh di Malaysia diulang siar di televisyen.
Cadangan tersebut tular di platform Threads apabila seorang pengguna media sosial mengusulkan kepada sebuah stesen televisyen agar menayangkan semula semua musim program realiti berkenaan, termasuk diari harian dan konsert mingguan yang pernah menjadi fenomena nasional pada awal 2000-an.
“Kepada stesen berkenaan, tolong siarkan semula rancangan itu dari musim pertama hingga terakhir. Rindu nak tengok diari dan konsert mingguannya. Saya membesar menonton rancangan ini,” tulis individu tersebut.
Namun, pandangan itu mendapat perhatian Heliza yang secara terbuka menolak cadangan berkenaan.
Menurutnya, langkah mengulang siar rancangan tersebut tidak wajar kerana ramai bekas peserta wanita kini telah berhijrah dan memilih untuk menutup lembaran lama mereka.
“Janganlah… ramai dah berhijrah. Jangan ditayang semula ya,” tulis Heliza ringkas membalas ciapan itu.

Program realiti nyanyian tersebut pernah mendominasi industri hiburan tanah air sejak diperkenalkan pada tahun 2003, dengan setiap musim mencetuskan fenomena tersendiri.
Rancangan itu kali terakhir bersiaran pada 2017, meninggalkan legasi besar dalam industri muzik Malaysia.
Antara bintang terkenal yang pernah dilahirkan menerusinya termasuk Mawi, Stacy, Hafiz Suip, Mila Jirin, Hazama, Adira, Ara Johari, Syamel dan ramai lagi, yang kini menjadi antara nama paling disegani dalam dunia seni tempatan.




