Puspita hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal melancarkan album tradisional baharu yang bakal dilancarkan bulan hadapan.
Sedang giat menyiapkan naskhah terbabit, Biduanita Negara mendedahkan album tersebut bakal memuatkan 10 sehingga 11 lagu baharu, termasuk dua buah lagu duet.
“Album itu bakal menemui peminat bulan hadapan. Album ini mendapat dana MyCreative Venture dan ia sedang ia harus disiapkan mengikut ‘deadline’. Saya sudah mula merakam lagu-lagu baharu untuk album ini.
“Saya juga bakal muncul dengan dua muzik video dan dokumentari khas sempena album ini. Dalam album terbabit, saya bakal berduet dalam dua buah lagu. Salah satunya duet bersama Umairah dan sebuah lagi lagu saya akan menampilkan penyanyi yang hebat.
“Saya dah lama nak berduet dengan dia. Penyanyi itu merupakan artis legenda dalam eranya,” kata Siti.
Dalam masa sama, Siti turut memberi bayangan akan ada pengumuman besar sempena 30 tahun perjalanan seninya.
“Selepas album tradisional ini, saya akan umumkan sesuatu yang lebih besar bersempena 30 tahun saya dalam industri.
“Kepada peminat, saya boleh beri hint sahaja, dah boleh dah menabung untuk pembelian tiket yang saya akan umumkan tahun ini juga.
“Album itu, tradisional. Mengenai konsert? Biarlah rahsia. Iya, bakal buat di stadium. Stadium mana? Nantikan,” kata Siti lagi.




