Gabungan kumpulan popular dua era iaitu Exists dan Masdo yang berlangsung pada Ahad di Dewan Merdeka World Trade Centre, Kuala Lumpur sememangnya membangkitkan nostalgia menerusi senarai lagu-lagu pilihan yang didendangkan.
Selain memberikan pengalaman ‘pulang’ ke masa silam, dua nama besar ini semestinya layak diberikan penghargaan dek kerana berjaya mencipta memori manis kepada semua penonton yang hadir pada konsert berkenaan.

Membuka pentas dengan dendangan lagu dari kumpulan anak muda yang mula mencipta nama sekitar tahun 2015, Masdo tampil dengan lagu popular mereka berjudul Bunga, Miss Flower Learns To Twist dan Janji Manis sebelum menyanyikan lagu hasil ciptaan penyanyi popular, Noh Salleh berjudul Inilah JalanNya.
Dalam pada itu, kumpulan Masdo juga tidak mengambil masa yang lama untuk berinteraksi dengan peminat yang hadir sebelum meneruskan persembahan mereka dengan membawakan lagu Perih Jerih, Kechundang, Kasih & Sayang, Dinda, Malam Pesta Rock & Roll dan Bercanda Di Malam Indah sebelum menutup tirai persembahan mereka dengan ‘trademark’ kumpulan ini yang digelar ‘changkung’.
Gelombang kugiran dua era terus dihangatkan dengan penampilan kumpulan Exists yang pastinya ditunggu-tunggu sebahagian penonton yang hadir dan membesar mendengarkan lagu-lagu hebat mereka.
Menyanyikan sebanyak 13 buah lagu, Exists terus menggegarkan dewan apabila Ezad selaku vokalis mendendangkan lagu Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya, Julia, Tak Tahu Harga Cinta, Janji Padamu, Langkah Seiringan, Bunga dan lagu medley berjudul Pancut Ke Siling serta Oh, Benih.
Tidak habis disitu, selaku kumpulan senior, Exists berjaya membuatkan semua peminat yang hadir bernyanyi bersama ketika mendendangkan lagu hit mereka seperti Jesnita, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu sebelum bergabung dan menyanyikan lagu bersama kumpulan Masdo untuk konsert penutup kali ini.
Antara lagu penutup konsert Battle Of Time: Exists & Masdo adalah, Pujaanku, Kapal Terbang Kertas & Muda Mudi.




