Kuala Lumpur: Keadaan banjir di beberapa negeri terus memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 142,684 orang petang ini berbanding lebih 120,000 pagi tadi, selain mengorbankan empat nyawa setakat ini.
Korban pertama banjir ialah mangsa lemas Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, dari Kampung Pinang, Besut, Terengganu yang dilaporkan pada 28 November lalu.
Dua lagi ialah Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, mangsa tragedi tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu, petang semalam.
Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam air di sebuah rumah di Kampung Cherang Melintang, Tumpat, pada Khamis.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 91,279orang melibatkan 28,263 keluarga setakat 3.30 petang ini berbanding 80,640 orang pagi tadi, dengan kesemuanya berlindung di 288 PPS.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jajahan Pasir Mas kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 27,845 orang diikuti Tumpat (15,636), Kota Bharu (13,271), Pasir Puteh (8,943), Bachok (6,634), Kuala Krai (6,591), Machang (6,042), Tanah Merah (5,284), Jeli (1,005) dan Gua Musang (27).
Portal infobanjir.water.gov.my turut merekodkan tujuh sungai utama masih melepasi paras bahaya, namun menunjukkan trend menurun iaitu Sungai Kelantan di Kusial Baru (18.31 meter), Sungai Kelantan di Kusial (18.36 m), Sungai Golok di Rantau Panjang (11.22 m) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.63 m), Sungai Golok di Tumpat (4.26 m), Sungai Melor di Bachok (9.33 m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (4.19 m).
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan 39,954 orang dipindahkan ke PPS di lapan daerah setakat 4 petang berbanding 35,124 orang pagi tadi.
Di Kuala Terengganu sebanyak 1,451 mangsa daripada 360 keluarga ditempatkan di lima PPS manakala di Besut, 15,675 mangsa daripada 4,149 keluarga berlindung di 121 PPS.
Di Marang, 770 orang daripada 199 keluarga berteduh di lapan PPS, Hulu Terengganu (6,606 orang daripada 2,094 keluarga di 65 PPS), Kemaman (2,501 orang daripada 677 keluarga di 20 PPS), Setiu (6,683 orang daripada 1,774 keluarga di 52 PPS) dan Kuala Nerus (958 orang daripada 254 keluarga di enam PPS).
Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, paras air di 10 stesen di negeri itu melepasi paras bahaya antaranya di Parit Utama Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan (F2), Marang; Sungai Terengganu di Muzium Terengganu (F1), Kuala Terengganu; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (F2), Setiu; Sungai Terengganu di Rumah Pam (F1), Kuala Terengganu dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 449 orang petang ini berbanding 425 orang pagi tadi dengan Tangkak mencatat mangsa paling tinggi iaitu 311 orang daripada 94 keluarga di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Rahmat, Sekolah Agama Bandar dan SK Abdullah.
Sebuah lagi daerah terjejas ialah Segamat, melibatkan 138 mangsa daripada 41 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS iaitu Balai Raya Kampung Paya Lebar, Balai Raya Kampung Bukit Tunggal, Balai Raya Kampung Jabi, Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Komuniti Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Awat dan Balai Islam Kampung Gubah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan turut memaklumkan tiga jalan raya di Kluang dinaiki air iaitu Jalan Kluang-Mersing (Cattle Queen), namun masih boleh dilalui semua kenderaan, dan jalan berhampiran persimpangan Kahang Timur pula hanya dibuka kepada kenderaan berat.
Tiga sungai iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak; Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Batu Pahat, dan Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga dilaporkan berada pada paras bahaya.
Di KEDAH, Baling menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu selain enam lagi daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap, Sik, Pokok Sena dan Kuala Muda, menjadikan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 52 PPS meningkat kepada 8,252 orang daripada 2,514 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 7,911 orang daripada 2,420 keluarga, pagi tadi.
Sementara itu, PLUS Malaysia dalam kenyataan memaklumkan laluan Jitra hingga Hutan Kampung ditutup sementara akibat dinaiki air bermula 10 malam tadi dan kenderaan yang menghala ke utara dilencongkan keluar dari lebuh raya menerusi Persimpangan Alor Setar Utara dan masuk semula ke lebuh raya menerusi Persimpangan Jitra Selatan.
Di PERLIS, keadaan banjir semakin pulih apabila dua PPS iaitu PPS Guar Nangka di Arau dan PPS SK Titi Tinggi (Padang Besar) ditutup petang ini, sekali gus menjadikan mangsa berkurangan kepada 243 orang daripada 65 keluarga, setakat petang ini berbanding 520 orang daripada 149 keluarga pagi tadi.
Menurut Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud dua PPS yang masih beroperasi ialah PPS SK Arau (Arau) menempatkan 101 orang manakala 142 orang lagi berlindung di PPS Dewan Warisan (Kangar).
Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir menurun kepada 2,007 individu daripada 573 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin, dan Jempol.
Trend penurunan turut dilaporkan di MELAKA dengan hanya 198 orang daripada 54 keluarga berada di enam PPS setakat 4 petang ini berbanding 229 orang daripada 63 keluarga pada 8 pagi tadi manakala di SELANGOR, Portal Info Bencana JKM melaporkan hanya sebuah PPS iaitu PPS SK Sungai Binjai masih beroperasi bagi menempatkan 302 mangsa daripada 75 keluarga berbanding 473 mangsa pagi tadi.
Di PERAK, PPS di SK Parit Haji Aman di daerah Kerian ditutup sepenuhnya pada 3 petang tadi dengan kesemua 20 mangsa daripada tujuh keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, setelah lokasi bencana – Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Parit Air Itam 2 didapati selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd