Banjir kian memburuk di Johor

Banjir kian memburuk di Johor

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Keadaan banjir di negeri ini semakin membimbangkan apabila mangsa banjir terus melonjak melepasi angka 2,000, setakat 8 malam ini.

Ia membabitkan peningkatan seramai 2,524 penduduk daripada 722 keluarga yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas.

Ia berbanding seramai 1,786 penduduk daripada 533 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS di lima daerah terjejas, 6 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kulai menyaksikan lonjakan mangsa sekali ganda apabila ia merekodkan seramai 675 mangsa daripada 171 keluarga di lima PPS.

Katanya, ia berbanding hanya 239 penduduk daripada 68 keluarga di Kulai yang ditempatkan di empat PPS, 6 petang tadi.

Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir seramai 1,093 penduduk daripada 344 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

“Mangsa banjir di Kluang turut bertambah kepada 354 penduduk daripada 99 keluarga di lima PPS malam ini, berbanding 328 penduduk daripada 83 keluarga, 6 petang tadi.

“Di Pontian, jumlah mangsa banjir melonjak kepada 254 penduduk daripada 64 keluarga di lima PPS, berbanding hanya 134 mangsa daripada 37 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, 6 petang tadi.

“Mangsa banjir di Johor Bahru pula merekodkan seramai 148 penduduk daripada 44 keluarga yang ditempatkan di lima PPS membabitkan kawasan Skudai, Puteri Wangsa dan Tebrau,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan enam sungai masih merekodkan paras bahaya di negeri ini.

Katanya, ia membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong di Kampung Siam, Kulai; Sungai Pontian Besar, Kulai; Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru; selain Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi.

“Lima sungai di Johor merekodkan paras amaran membabitkan Sungai Sedili Kecil di Jambatan Sedili Kecil, Kota Tinggi; Sungai Sayong di Kampung Murni Jaya; Sungai Skudai di Kampung Pasir dan Sungai Tiram, Johor Bahru; selain Sungai Jemaluang, Mersing.

“Manakala lima lagi sungai mencatatkan paras waspada membabitkan Sungai Segamat; Sungai Skudai di Kampung Separa, Kulai; Sungai Pulai, Pontian; Sungai Punggai, Kota Tinggi; dan Sungai Endau, Mersing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top