Banjir Sabah semakin buruk

Banjir Sabah semakin buruk

bhnews@bh.com.my

BEAUFORT: Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara terus meningkat pagi ini.

Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 4,832 mangsa daripada 1,326 keluarga kini berada di 39 pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Tenom dan Beaufort.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata jumlah itu meningkat berbanding 4,792 mangsa membabitkan 1, 315 ketua isi rumah (KIR) setakat jam 8 malam tadi.

“Tenom masih menjadi daerah paling ramai mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS ketika ini.

“Seramai 4,221 mangsa melibatkan 1,169 keluarga kini masih ditempatkan di 35 PPS seluruh daerah.

“Daerah Beaufort pula mencatatkan bilangan 611 penduduk dipindahkan ke PPS dengan jumlah keluarga sebanyak 157 (KIR),” katanya.

Jurucakap APM berkata, pihaknya sukar meramalkan situasi banjir ketika ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.

Berikutan itu, katanya penduduk di kawasan rendah serta berdekatan sungai perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca selain memantau anak masing-masing agar tidak bermain banjir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top