am@hmetro.com.my
Gua Musang: Walaupun daerah ini hanya didiami 110,000 orang penduduk namun jumlah sampah harian yang dibuang meningkat mendadak.
Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Mohd Roshdi Ismail, berkata, berlaku peningkatan pembuangan sisa pepejal susulan pembukaan pasar raya dan penempatan baharu penduduk.
Katanya, dalam tempoh dua tahun bermula 2021 hingga 2022, purata sampah yang diuruskan MDGM sebulan adalah sebanyak 2,100 tan.
“Jumlah ini meningkat kepada purata 2,800 tan sebulan bermula tahun 2023 hingga sekarang.
“Jadi dalam tempoh lima tahun ini lebih 117,000 tan sampah sudah diuruskan oleh pihak MDGM. Tempat pelupusan sampah sementara di Kampung Kundur ini adalah satu-satunya tempat pelupusan sampah di daerah ini,” katanya ketika ditemui di tempat pelupusan sampah sementara Kampung Kundur, di sini.
Katanya, proses kutipan sampah itu membabitkan beberapa kawasan termasuk Bertam, Galas, Paloh, Chiku dan Lojing.
Menurutnya, MDGM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas menjaga aspek kebersihan di daerah ini yang tidak hanya tertumpu kepada pengurusan sampah tetapi juga kebersihan dan keceriaan Bandar Gua Musang.
“Bagi pengurusan sampah ini pihak majlis mempunyai lima lori pemampat dan empat lori roro yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat untuk mengutip sampah.
“Pihak majlis akan terus memberi komitmen penuh untuk menjaga aspek kebersihan di daerah ini. Selain pengurusan sampah, pihak MDGM turut bertanggungjawab menjaga kemudahan infrastruktur lain seperti jalan di kawasan taman perumahan, lampu jalan, kawasan rekrasi dan taman permainan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




