Bapa didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram, amang seksual dan rakam gambar bogel anak

Bapa didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram, amang seksual dan rakam gambar bogel anak

am@hmetro.com.my

Melaka: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 52 pertuduhan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya.

Tertuduh, seorang juruteknik berusia 41 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Lelaki itu didakwa atas 17 kes sumbang mahram dan 34 kes amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia 18 tahun serta satu kes merakam gambar bogel mangsa.

Bagi 17 pertuduhan sumbang mahram terhadap anak kandungnya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Dia turut berdepan 34 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Selain itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 AKSTK 2017 kerana membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar bogel anak kandungnya itu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tambak Paya Harmoni, di sini, antara 12 Mei hingga 2 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Dalam rayuannya, tertuduh mendakwa dia tidak mampu membayar jumlah itu kerana wang simpanannya diambil oleh isteri, selain tertekan dan mahu membunuh diri berikutan tuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dan menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top