Bapa tujuh anak langgar Perodua Axia didenda RM13,000

Bapa tujuh anak langgar Perodua Axia didenda RM13,000

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Bapa tujuh anak yang tidak bekerja didenda RM13,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dengan melanggar Perodua Axia dan memandu sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Tertuduh turut diperintahkan penjara selama 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandunya diendors oleh mahkamah.

Di hadapan Atifah Hazimah, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan melanggar Perodua Axia berwarna hitam milik seorang lelaki yang menyebabkan kerugian RM15,300.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala di hadapan Nur Fatin, tertuduh didakwa memandu Toyota Hilux di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepenuhnya sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan, lesen diendors oleh mahkamah dan jika mempunyai lesen percubaan, lesen itu akan dibatalkan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Susur 6, Jalan Tun Abdul Razak di sini, jam 3.10 petang Ahad lalu.

Tertuduh sambil menangis merayu hukuman ringan kerana tiada pendapatan dan mempunyai seorang isteri serta tujuh anak.

“Saya menyesal akan perbuatan saya dan tidak akan mengulangi perbuatan saya” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan Amirah Tasnim Saleh masing-masing memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mengambil kira kerugian dialami mangsa dan kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

Atifah Hazimah dan Nur Fatin masing-masing menjatuhkan hukuman denda RM7,500 atau 12 bulan penjara dan RM5,500 atau enam bulan penjara serta lesen memandu diendors oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes, pengadu seorang lelaki berusia 63 tahun membuat laporan polis mendakwa tertuduh melanggar Perodua Axia warna hitam miliknya sehingga menyebabkan kerugian RM15,300.

Bertindak atas maklumat, polis menahan tertuduh pada jam 6.30 petang kelmarin di Jalan Langkasuka di sini, dan hasil siasatan mendapati tertuduh melakukan khianat dengan melanggar belakang Perodua Axia sebanyak satu kali dan bahagian hadapan dua kali sebelum melarikan diri.

Terdapat rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan kejadian itu selain saksi yang menyaksikan insiden itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top