khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kluang: Walaupun baru lima hari lahirkan anak, seorang ibu tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia apabila sanggup keluar mengundi pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.
Nur Asyikin Maznan, 31, yang baru melahirkan anak ketiganya hadir bersama suami, Koperal Mohammad Nazrin Saharudin, 34, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Menurutnya, walaupun masih dalam tempoh berpantang dan keadaan fizikal belum pulih sepenuhnya, dia tetap tekad hadir kerana menganggap setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri.
“Alhamdulillah, walaupun baru lima hari bersalin, saya tetap mahu keluar mengundi. Ini tanggungjawab sebagai rakyat dan peluang ini tidak boleh dipandang ringan.
“Suami banyak membantu sepanjang proses keluar mengundi hari ini, jadi saya berasa lebih yakin untuk hadir,” katanya ketika ditemui di Kem Mahkota Kluang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohammad Nazrin berkata, sokongan terhadap isterinya menjadi keutamaan bagi memastikan urusan mengundi dapat dilakukan dengan selesa tanpa menjejaskan keadaan ibu dan bayi.
Katanya, walaupun sibuk dengan tugasan serta komitmen sebagai anggota keselamatan, dia berasa bersyukur isterinya tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negeri.
“Sebagai pasangan, saya hanya mahu memastikan isteri berada dalam keadaan selesa. Syukur semuanya berjalan lancar dan kami dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




