Bayangan barisan EXCO Negeri Sembilan sudah ada – MB

Bayangan barisan EXCO Negeri Sembilan sudah ada – MB

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim memaklumkan beliau sudah mempunyai bayangan mengenai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dilantik di bawah pentadbirannya.

Bagaimanapun katanya, senarai mereka yang dipilih akan diumumkan menjelang Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Beliau berkata, ia selepas berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti terutama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum dipersembahkan kepada Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Saya sedang susun barisan EXCO, bayangan sudah ada tapi belum dimuktamadkan dan sedang diharmonikan.

“Kita ambil kira kedudukan parti termasuk Perikatan Nasional (PN), WAWASAN (Parti Wawasan Negara) dan kawasan (daerah).

“Tak mungkin satu daerah ramai sangat, kita kena bagi juga termasuk kedudukan wanita.

“Tapi saya rasa 10 EXCO itu memadai kerana jumlah itu yang sudah ditetapkan dan saya rasa tak ada tambahan,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar di Wisma Negeri di sini, hari ini,

Ismail tiba di Wisma Negeri jam 9 pagi tadi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali serta pegawai dan kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengekalkan jawatan EXCO Kanan, namun individu yang akan memegang jawatan itu belum lagi dimuktamadkan.

“Mungkin ada (jawatan EXCO Kanan) tapi setakat ini belum buat keputusan.

“Kali ini Barisan Nasional (BN) menang banyak dan ada kemungkinan kita juga akan melantik timbalan EXCO terutama di potfolio tertentu.

“Selain itu, wakil dari PN dan WAWASAN turut diambil kita. Apapun, tunggu paling cepat Jumaat ini atau paling lewat Isnin, insya-Allah,” katanya.

Mengenai dakwaan pihak tertentu mengatakan terdapat beberapa nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditolak daripada barisan EXCO, beliau menafikan perkara itu.

“Saya tak mengikuti apa yang disiarkan di media sosial dan setakat ini saya tidak dimaklumkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top