PJRM pertama di Pos Pasik tarik lebih 1,000 penduduk

PJRM pertama di Pos Pasik tarik lebih 1,000 penduduk

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di pedalaman Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik menarik nafas lega apabila dapat menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui penganjuran Program Jualan Rahman Madani (PJRM) di kawasan itu, hari ini.

Penganjuran program terbabit yang pertama kali diadakan itu sangat dinantikan masyarakat Orang Asli di pedalaman itu apabila terdapat penduduk yang mempunyai nilai terkumpul sehingga RM800 kerana tidak dapat keluar menebus SARA.

Seorang penduduk Kampung Ayong, Pos Pasik, Ramli Chimbong, 51, berkata program terbabit sangat dinantikan penduduk kerana dapat membeli barangan keperluan dengan harga murah daripada harga runcit di kedai kawasan penempatan itu.

Katanya, dengan adanya program seperti itu penduduk di pedalaman juga dapat menggunakan Mykad untuk membeli barangan keperluan asas mereka.

“Kalau hendak menebus SARA kami kena keluar daripada penempatan ini dengan menempuh perjalanan kira-kira dua jam setengah serta perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda.

“Jadi apabila diadakan program seperti ini kami tidak lagi perlu keluar daripada penempatan ini dan harga barangan yang dijual juga lebih murah berbanding kedai runcit di kampung ini.

“Harga memang sangat murah. Di kampung ini harga barang agak mahal apabila beras boleh mencecah RM40 bagi 9 kilogram, tetapi hari ini dijual pada harga RM29. Memang berbaloi dan membantu kami menghadapi kos sara hidup,” katanya ketika ditemui di RPS Pasik, di sini, hari ini.

Pemilik SMS Maju Solution, Sabariah Mohamed Sayuti berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ia adalah pengalaman pertama membawa barangan pada program PJRM ke penempatan Orang Asli.

“Lebih 1,000 penduduk hadir sepanjang program berkenaan dan ramai penerima SARA mempunyai baki kredit yang terkumpul dalam MyKad masing-masing.

“Ada yang mempunyai baki RM300, RM500 malah sehingga RM800 dalam MyKad mereka. Untuk program pada hari ini kami membawa sebanyak 100 jenis barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula dan biskut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, inisiatif kerajaan mengadakan PJRM oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat membantu penduduk luar bandar dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

Katanya, pelaksanaan program itu di kawasan pedalaman seperti Pos Pasik membantu penduduk menjimatkan kos pengangkutan dan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top