Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyifatkan kisah Nik Haziera Saffiya, 18, sebagai lambang semangat luar biasa apabila gadis itu tidak menjadikan kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan sebagai pengakhiran kehidupan, sebaliknya bangkit mengejar impian mengharumkan nama negara.
Beliau berkata, di sebalik ujian yang menimpa, Haziera memilih untuk terus melangkah ke hadapan dengan membantu keluarga berniaga, menjalani latihan serta menyimpan impian besar untuk mewakili Malaysia dalam sukan lawan pedang berkerusi roda.

Menurutnya, semangat yang ditunjukkan atlet muda itu membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk seseorang mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
“Ramai yang memandang kehilangan sebagai noktah. Tetapi tidak buat adik Nik Haziera Saffiya.
“Kemalangan yang meragut sebelah kakinya bukan pengakhiran sebuah kehidupan. Sebaliknya, itulah titik mula kepada sebuah perjuangan yang lebih besar,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini.
Dr Mohammed Taufiq turut mendedahkan bahawa Haziera pernah berjanji kepada ibunya untuk menghadiahkan dua pingat emas buat negara, sekali gus menjadikan impian itu sebagai sumber kekuatan untuk terus berjuang.
Beliau berkata, hasrat atlet muda itu untuk menyarung jersi negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia amat menyentuh hati serta wajar diberikan sokongan.
“Di sebalik kesakitan yang tak terbayang dek akal, adik Haziera memilih untuk bangkit. Membantu keluarga dengan berniaga.
“Terus berlatih. Terus menyimpan impian yang tidak pernah padam; menyarung jersi keramat negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia.
“Janji adik Haziera kepada ibunya cukup menyentuh hati. ‘Saya nak menang dua pingat emas. Saya nak harumkan nama Malaysia’,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kehadirannya ke kediaman keluarga Haziera di Temerloh bukan sekadar sebagai kunjungan biasa, sebaliknya bagi menyampaikan amanah kerajaan untuk menyerahkan surat lantikan atlet berkenaan ke Program Latihan Pelapis Kebangsaan Para Lawan Pedang.
Katanya, pelantikan itu diharap menjadi pemangkin kepada perjalanan Haziera untuk mengembangkan bakat dan merealisasikan impiannya mewakili negara pada temasya Sukan Para ASEAN 2027.
“Kehadiran saya ke teratak Pak Cik Nik Husmadi dan Mak Cik Noriah Adjun di Temerloh tempoh hari bukanlah sekadar sebagai tetamu.
“Saya hadir membawa satu amanah negara. Amanah untuk menyerahkan surat lantikan adik Haziera sebagai atlet Program Latihan Pelapis Kebangsaan Para Lawan Pedang,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata, beliau pulang daripada kunjungan itu dengan membawa sebuah kisah yang penuh harapan dan inspirasi, bukan sekadar menyempurnakan penyampaian surat lantikan.

Beliau menyifatkan Haziera sebagai anak Malaysia yang enggan menyerah kepada takdir, manakala keluarganya pula menjadi contoh sokongan yang tidak pernah luntur walaupun berdepan ujian besar.
“Dan saya pulang membawa sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu.
“Saya pulang membawa sebuah kisah tentang harapan. Tentang seorang anak yang enggan menyerah kepada takdir. Tentang sebuah keluarga yang tidak pernah berhenti percaya.
“Dan tentang seorang anak Malaysia yang memilih untuk terus berjuang, bukan demi dirinya semata-mata, tetapi demi negara yang dicintainya,” ujar Dr Mohammed Taufiq.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap ujian yang diberikan mempunyai hikmah tersendiri dan mampu membentuk seseorang menjadi lebih tabah serta membuka ruang kepada peluang yang tidak pernah disangka.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar Haziera terus diberikan kekuatan, kesihatan dan ketabahan untuk mencapai impiannya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Benarlah, apabila Allah mengambil sesuatu daripada hidup kita, bukan bermaksud itu sebagai satu hukuman.
“Kadang-kadang, ujian yang datang membentuk jiwa yang lebih kental, membuka jalan yang tidak pernah kita bayangkan dan menyediakan sesuatu yang jauh lebih indah pada waktu yang paling tepat.
“Doa saya, dan saya percaya doa seluruh rakyat Malaysia, semoga adik Haziera terus dikurniakan kekuatan, kesihatan dan ketabahan untuk menggapai cita-cita keramat tersebut,” tambahnya lagi.
Sumber: Instagram Taufiq Johari




