am@hmetro.com.my
Melaka: Suasana di pesisir Encore Melaka bertukar meriah apabila orang ramai tidak melepaskan peluang menaiki bot tentera sempena Sambutan Tahun Baharu 2026 dan Sambutan Jubli Intan ke-60 Rejimen Gerak Khas (GGK), yang berlangsung hingga 31 Disember.
Seawal pagi, pengunjung pelbagai peringkat umur dilihat beratur menunggu giliran menaiki bot kebiasaannya digunakan dalam operasi ketenteraan dengan bayaran serendah RM10.
Penyelaras Sambutan Jubli Intan GGK Fasa 2 merangkap Pegawai Laksana Rejimen 22 Komando, Leftenan Kolonel Nor Hasnizar Nor Rashid berkata, program julung dianjurkan di luar kem tentera itu bukan sekadar menawarkan aktiviti rekreasi, malah membuka ruang kepada masyarakat melihat lebih dekat aset serta keupayaan pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, penganjuran kali ini sengaja dibuka kepada orang awam bagi mendekatkan pasukan Gerak Khas dengan masyarakat.
“Kebiasaannya sambutan seperti ini dibuat secara tertutup dalam kem tentera, namun kali ini kita mahu orang ramai turut sama merasai pengalaman dan melihat sendiri peranan pasukan Gerak Khas.
“Ia juga usaha mendekatkan pasukan keselamatan dengan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengalaman menaiki bot tentera di perairan Selat Melaka menjadi antara tarikan utama sambutan itu kerana jarang ditawarkan kepada orang awam, lebih-lebih lagi dengan bayaran minimum.
“Selain menaiki bot, pengunjung juga dapat melihat pameran aset ketenteraan membabitkan elemen darat, laut dan udara yang jarang dipertontonkan kepada masyarakat.
“Demonstrasi kepakaran pasukan 21 GGK turut diadakan bagi mempamerkan tahap kesiapsiagaan, profesionalisme serta kecekapan pasukan khas negara,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata pengunjung teruja dan menyifatkan pengalaman itu sebagai peluang berharga, khususnya bagi golongan muda yang berminat dengan bidang ketenteraan.
Pengunjung, Ahmad Ariff Farhan, 19, berkata, ini kali pertama dia berpeluang menaiki bot tentera dan menganggap pengalaman itu sukar dilupakan.
“Selalunya tengok bot tentera dalam televisyen saja. Bila dapat naik sendiri, memang rasa berbeza.
“Dengan RM10, memang berbaloi dan jadi pengalaman yang tak akan dilupakan,” katanya.
Pengunjung lain, Nur Aisyah Abadillah, 34, yang hadir bersama keluarga berkata, program itu dilihat sesuai sebagai aktiviti kekeluargaan sambil memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai peranan pasukan keselamatan negara.
“Anak-anak teruja tengok bot dan anggota tentera. Ini pengalaman yang baik untuk mereka faham tugas askar dan kepentingan keselamatan negara,” katanya.
Majlis perasmian Sambutan Jubli Intan GGK Fasa 2 dijadualkan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sebelum ini fasa pertama Sambutan Jubli Intan GGK diadakan pada 16 Ogos lalu di Kem Iskandar, Mersing, Johor yang lebih bersifat rejimental dan tertutup.
Manakala penganjuran di Melaka ini dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang lima hari sekali gus menjadikan acara itu antara tarikan utama menjelang sambutan ambang tahun baharu di negeri ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




