GERGASI Bundesliga, Bayern Munich akan beraksi tanpa penjaga gol cedera, Manuel Neuer, dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan dari Itali pada Rabu ini selepas gagal pulih tepat pada masanya untuk aksi tersebut, menurut kelab itu pada Selasa.
Neuer, yang akan terbang bersama pasukan ke Itali pada lewat Selasa, adalah antara beberapa pemain Bayern yang mengalami kecederaan, termasuk pemain tengah menyerang Jamal Musiala dan pemain pertahanan Alphonso Davies serta Hiroki Ito.
“Manuel Neuer tidak akan bermain disebabkan kecederaan tetapi akan terbang ke Milan bersama pasukan untuk memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya,” kata Bayern dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 39 tahun itu sebelum ini telah direhatkan akibat kecederaan otot betis selama lebih sebulan tetapi terdapat harapan akan pulih untuk perlawanan timbal balik selepas kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada Inter pada perlawanan pertama minggu lalu.
Pemenang perlawanan ini akan berdepan sama ada Barcelona atau Borussia Dortmund di separuh akhir.
Sebagai rekod, Bayern juga berada di kedudukan teratas Bundesliga, dengan kelebihan enam mata dan berbaki lima perlawanan.