am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Bayi lelaki baru dilahirkan ditemukan selamat di Taman Awam Teluk Likas di sini, pagi semalam, dalam kejadian pembuangan bayi terbaharu di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 6.30 pagi daripada orang awam.
“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemukan dan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Bayi itu segera dibawa ke Hospital Likas oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang saksi yang melihat kejadian itu, selain kawasan berkenaan juga tidak dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut dimaklumkan bagi tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi berkenaan,” katanya.
Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-316 7612.
© New Straits Times Press (M) Bhd




