Putrajaya : Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung Syawal Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 berlangsung untuk tahun ke-13 dengan menyediakan hampir 300 lot niaga sempena Ramadan tahun depan.
Penganjur juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, festival bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’ membabitkan pelbagai aktiviti dan juga reruai akan dibuka bermula 28 Februari depan sehingga ke ambang malam 1 Syawal.
Katanya, konsep Anjung Syawal kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun rakyat Malaysia terutamanya kebudayaan Melayu sama ada di bandar atau di kampung.
“Bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.
“Ia juga berhasrat bagi menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini dalam usaha menarik minat semua golongan masyarakat terutama generasi muda.
“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Rayme, antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen Pangkin Seni dan Serambi Santai bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan dan ruang melepak untuk pengunjung beristirehat.
“Bagi mengekalkan tarikan tahun ini, khemah lutsinar dan berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk pengunjung berbuka puasa sebagai tarikan bazar itu.
“Pengunjung juga tidak perlu bimbang kerana lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan bagi menampung jumlah pengunjung yang ramai disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3.
“Dengan harga bayar yang rendah, kami berharap kemudahan parkir ini dijangka akan melegakan pengunjung untuk memudahkan urusan mencari barangan atau mengikuti aktiviti yang sudah disediakan.” kata Rayme untuk maklumat lanjut serta tempahan ruang niaga hubungi talian +6013 5086807.
Mengenai acara itu, pihaknya turut menyediakan kemudahan menunaikan solat, berjemaah dan tarawih berhampiran lokasi iaitu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin selain Badar Ramadan di kawasan berdekatan. Katanya, peniaga boleh mendapatkan booth jualan segera dengan harga yang berpatutan untuk berniaga selama lebih 30 hari.
“Jangan lepaskan peluang hadirkan diri ke Anjung Syawal FRP 2025 ini supaya orang ramai dapat merasai sendiri suasana meriah, santai dan unik yang mungkin tidak ada di tempat lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




