Rasa bertuhan, tak penting diri

Rasa bertuhan, tak penting diri

SEJAK kebelakangan ini kes kemalangan ngeri di jalan raya makin membimbangkan. Punca utama berlaku kemalangan di jalan raya disebabkan sikap pemandu yang cuai, tidak mematuhi peraturan lalu lintas, salah guna jalan raya untuk berlumba, pandu melebihi had laju, keluar dan masuk laluan secara berbahaya dan sebagainya.

Meskipun diperkenalkan pelbagai program dan kaedah bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat di jalan raya, namun kesannya masih dilihat kurang memuaskan kerana sehingga kini boleh dikatakan hampir setiap hari ada laporan kes kemalangan ngeri yang meragut banyak nyawa.

Oleh itu, di samping pendekatan sedia ada ini, adalah amat wajar jika kita cuba tangani masalah kemalangan jalan raya ini berdasarkan pendekatan keagamaan seperti pendekatan habl min Allah (hubungan dengan Allah SWT) dan habl min al-nas (hubungan sesama manusia) yang kedua-duanya adalah elemen asas tasawur Islam.

Lagipun usaha mendekati masalah ini berdasarkan pendekatan sebegini dilihat kurang ditonjolkan. Perkara ini mungkin disebabkan kebanyakan anggota masyarakat menganggap isu kemalangan jalan raya adalah masalah sikap dan tingkah laku individu tertentu sahaja, malah ia tidak ada hubung kait dengan keagamaan.

Seandainya andaian ini benar, bermakna kita masih menyempitkan ruang lingkup agama khususnya Islam dalam aspek kerohanian dan amalan ritual semata-mata. Sedangkan pada hakikatnya Islam sebagai agama yang merangkumi semua aspek kehidupan baik di dunia mahupun di akhirat.

Barangkali sebahagian besar masyarakat kita menganggap bahawa undang-undang dan hukuman yang digubal pihak berkuasa itu adalah semata-mata undang-undang ciptaan manusia.

Jadi, masyarakat tidak memikirkan dosa apabila melanggarinya. Jika berjaya ditahan dan dihukum atau disaman mereka membayarnya.

Jelas di sini bahawa aspek habl min Allah itu tidak wujud dalam diri mereka. Sebagai akibatnya keinginan untuk meneruskan amalan keji ini masih menebal dalam jiwa mereka.

Disebabkan tasawur pemikiran sebahagian besar masyarakat seperti ini, usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kes kemalangan maut di jalan raya kurang berkesan kerana akar umbi jiwa tidak berasaskan aspek habl min Allah.

Justeru, sehingga kini masih berlaku kes kemalangan maut yang menyayat hati. Masyarakat seolah-olah tidak mempedulikan undang-undang, malah mereka melanggarinya tanpa rasa bersalah.

Perlu dijelaskan kepada masyarakat seluruhnya bahawa penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya ini adalah tanggungjawab pemerintah. Perkara ini diiktiraf oleh Islam melalui konsep al-masalih al-mursalah.

Al-masalih al-mursalah bermaksud kepentingan atau keperluan yang tidak disebutkan secara jelas dalam nas iaitu al-Quran dan hadis, tetapi ia tidak pula bertentangan dengan kehendak nas itu sendiri.

Dalam hal undang-undang berkaitan jalan raya seperti yang dijalankan sehingga hari ini, kita tidak dapati peruntukan secara langsung dalam nas, tetapi kepentingan serta keperluan undang-undang dan peraturan jalan raya ini adalah selari dengan kehendak ajaran Islam yang menghendaki manusia sentiasa menjaga keselamatan diri (habl bi al-nafs) daripada segala bentuk kecederaan dan penderitaan.

Bukan setakat itu, malah Islam juga menggesa seseorang manusia itu sentiasa menjaga habl min al-nas iaitu dengan tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kebinasaan kepada orang lain seperti memandu secara melulu dan berbahaya.

Oleh itu, jika undang-undang berkaitan jalan raya ini dibuat berdasarkan konsep ini, maka ia dianggap sah dan diiktiraf oleh Islam. Jadi, ia adalah daripada kewajipan syarak yang wajib dipatuhi semua umat Islam.

Kewajipan syarak ini membawa maksud sesuatu perintah yang apabila dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan mendapat dosa.

Dalam konteks undang- undang berkaitan jalan raya yang digubal ini, ia bukan sahaja menyelamatkan tubuh badan kita sendiri atau orang lain (habl min al-nas), tetapi ia juga termasuk dalam ibadah yang diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT (habl min Allah).

Sebaliknya, melanggari undang-undang yang digubal bukan sahaja menyebabkan pesalah itu dikenakan hukuman sebagaimana yang ditentukan pemerintah di bawah konsep takzir, tetapi ia juga adalah satu dosa di sisi Allah SWT.

Adalah menjadi satu prinsip penting dalam Islam bahawa sebarang perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah satu dosa. Dalam al-Quran ada ayat yang menjelaskan hal ini iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah ayat 195).

Dalam ayat ini, jelas Allah SWT melarang kita daripada melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan, kemusnahan dan penderitaan. Memandu secara merbahaya atau dalam keadaan bahaya sudah tentu boleh mendatangkan kecelakaan kepada diri sendiri dan orang lain.

Malah ia juga boleh merosakkan harta benda. Hal ini jelas wujud kelonggaran pada aspek hubungan dengan sesuatu selain manusia atau alam.

Begitu juga ada beberapa hadis yang menjelaskan mengenai kewajipan menolak atau mengelak kemudaratan dan kemusnahan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA yang bermaksud: “Tiada mudarat dan tidak boleh membalas sesuatu kemudaratan dengan mudarat.” (Riwayat Imam Malik dan Ibn Majah)

Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemerintah di sisi syarak untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya yang difikirkan mampu menolak kemudaratan yang timbul akibat kemalangan. Apabila kerajaan menunaikan tanggungjawabnya dalam perkara ini, maka kerajaan mempunyai hak untuk ditaati (khususnya dalam perkara ini) dan menjadi tanggungjawab rakyat pula dari segi syarak untuk mentaatinya.

Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wajib ke atas seseorang Muslim mendengar serta taat kepada perintah sama ada dalam perkara yang disukai atau dibenci selama mana tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dengar dan mentaatinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Jadi, tidak ada sesiapa pun yang boleh menganggap undang-undang berkaitan jalan raya ini adalah suatu maksiat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, kepatuhan terhadapnya adalah wajib di sisi syarak.

Justeru, satu usaha perlu dilakukan untuk memperbetulkan tasawur masyarakat mengenai kehidupan dan sebagainya menurut pandangan Islam. Masyarakat perlu dijelaskan kedudukan mereka yang hakiki adalah sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.

Berdasarkan perbincangan sebelum ini, jelas bahawa jika pendekatan habl min Allah dan habl min al-nas digunakan, ia diyakini memberi kesan lebih baik dalam usaha kita menangani kes kemalangan jalan raya. Hal ini kerana pendekatan ini boleh mewujudkan rasa bertuhan dalam diri dan sikap tidak mementingkan diri sendiri.

Dengan itu, ketika memandu seseorang itu takut melanggari undang-undang kerana merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah SWT (ihsan) dan pada masa sama dia sentiasa bertimbang rasa dengan pemandu lain.

Satu kekuatan unggul pendekatan ini yang tidak ada pada pendekatan lain ialah sifatnya yang mempunyai elemen ihsan, dosa, pahala dan pembalasan di dunia mahupun di akhirat. Seseorang yang melakukan kesalahan memandu dengan laju dan merbahaya, mungkin berjaya melepaskan diri daripada tindakan pihak berkuasa dan pembalasan dunia, tetapi ia sentiasa berada dalam pengetahuan Allah SWT dan dibalas dengan hukuman setimpal di akhirat nanti.

Tasawur pemikiran ini sedikit sebanyak membentuk peribadi pemandu dan dapat merubah sikap mereka daripada memandu secara berbahaya kepada pemanduan berhemah.

Jika pemikiran Islam seperti ini berjaya disemai, Insya-Allah moga-moga kita dapat mengurangkan lagi kes kemalangan jalan raya pada masa-masa akan datang.

Penulis pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top