kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: PETRONAS Gas Berhad (PGB) berjaya menyempurnakan proses pengisian gas (gas-in) bagi saluran paip pintasan baharu dibina pada 1 Julai lalu, menandakan pemulihan sepenuhnya bekalan gas ke kawasan utama di Batu Tiga, Shah Alam dan Connaught Bridge.
PGB menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, operasi itu bermula pada 9.30 pagi dengan pengaliran gas secara selamat di Stesen Injap Utama di Puchong dan Batu Tiga, diikuti oleh pengisian terkawal di Putra Heights pada 1 tengah hari.
PGB berkata, paras aliran gas ditingkatkan secara berperingkat daripada 10 peratus hingga 100 peratus dan mencapai kestabilan sepenuhnya menjelang 12 tengah malam, mengikut prosedur keselamatan yang ketat.
“Kerja-kerja ini dilaksanakan selepas memenuhi semua keperluan kejuruteraan, operasi dan keselamatan regulatori, termasuk kelulusan Permit to Operate (PTO) oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“PGB mengesahkan bahawa bekalan gas kini sudah kembali normal sepenuhnya, sekali gus memulihkan kesinambungan tenaga untuk isi rumah, perniagaan dan industri di kawasan terbabit,” katanya.
Menurut PGB, memandangkan gas asli menyumbang antara 40 hingga 50 peratus daripada bekalan elektrik negara, PGB kekal komited untuk memastikan keselamatan masyarakat yang tinggal berhampiran infrastruktur kritikal ini, di mana satu amanah yang dipikul demi memastikan tenaga selamat dan boleh dipercayai untuk semua.
Sebagai sebahagian daripada falsafah keselamatan syarikat, PGB sudah melaksanakan penambahbaikan kejuruteraan di bahagian pintasan Putra Heights, termasuk pemasangan sensor canggih bagi mengesan pergerakan tanah dan paip, melebihi keperluan piawaian biasa.
Struktur sokongan tambahan dan kepingan cerucuk turut dipasang bagi menjamin kestabilan jangka panjang saluran paip terbabit.
Selain itu, merujuk kepada dapatan siasatan JKKP dan keperluan daya tahan masa hadapan, PGB kini dalam proses merekabentuk saluran paip kekal baharu yang dilengkapi ciri keselamatan ditambah baik.
“Paip ini akan dibina di atas cerucuk dalam untuk menahan pergerakan tanah tidak menentu, dengan injap tutup baharu yang akan membolehkan pengasingan lebih cepat sekiranya berlaku kecemasan.
“Tapak asal sudah melalui kerja-kerja penstabilan dan kini hanya dua saluran paip utama dikekalkan, demi mengurangkan risiko dan meningkatkan keyakinan komuniti,” katanya.
Selain itu, PGB turut menjalankan penilaian keselamatan proaktif di sepanjang rangkaian 2,680 kilometer Saluran Paip Gas Semenanjung (PGU) bagi memastikan integriti sistem menyeluruh.
Langkah ini membabitkan teknologi ‘Geopig’, ‘Magnetic Flux Leakage (MFL)’ dan pemeriksaan visual di lokasi tertentu dan setakat ini, tiada kawasan lain menunjukkan risiko seperti di Putra Heights.
“Pendekatan berterusan ini mencerminkan komitmen PGB terhadap ketelusan, penambahbaikan berterusan dan ketahanan infrastruktur jangka panjang.
“Dengan bekalan gas kini dipulihkan secara selamat, PGB menegaskan prinsip ‘Keyakinan Hidup Bersama’ bahawa komuniti bandar dan infrastruktur kritikal boleh wujud harmoni jika dipandu oleh piawaian keselamatan tertinggi, data telus dan komunikasi bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, PGB turut memaklumkan lebih RM2 juta disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan untuk bantuan perubatan, pemulihan harta dan sokongan pembinaan semula.
Sehingga kini, PGB berkata, 55 individu sudah menerima rawatan, manakala RM1.38 juta bantuan kewangan terus disampaikan kepada keluarga terjejas.
Selain itu, PGB juga menyumbang RM25 juta melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan semula rumah serta sedang merancang pelancaran program sokongan trauma dan kesihatan mental.
PGB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk, pihak berkuasa tempatan, pasukan kecemasan dan semua pemegang taruh atas sokongan, kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang proses pemulihan ini.
Sebagai pengendali infrastruktur gas terkemuka Malaysia, PGB kekal komited terhadap ketelusan, keselamatan tenaga negara dan kesejahteraan komuniti yang tinggal berhampiran asetnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd