am@hmetro.com.my
Georgetown: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mendapati bekalan kelapa di pasaran tempatan semakin stabil dengan terdapat sedikit penurunan harga sekitar lima hingga 10 peratus di sesetengah tempat.
Ia hasil peningkatan import kelapa dari luar negara dan langkah lain yang diambil.
Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya bersama anak syarikat dibantu usahawan pengimport sedia ada, dan pengilang meningkatkan pengeluaran produk berasaskan kelapa dalam bentuk paket, serbuk, kelapa parut dan sebagainya.
Katanya, pihaknya turut membawa masuk kelapa dari Sabah dan Sarawak bagi menampung permintaan komoditi itu di pasaran Semenanjung yang menunjukkan peningkatan menjelang Aidilfitri ini.
“Bagi Fama sendiri kita telah meningkatkan lebih kurang 30 hingga 40 peratus daripada bekalan sedia ada, walaupun dalam keadaan bekalan yang agak ketat buat masa ini pada peringkat dunia dan paling penting bekalan sudah semakin stabil.
“Kita meningkatkan import dari Indonesia walaupun sama-sama memerlukan bekalan tinggi disebabkan musim perayaan, tetapi atas kerjasama dua negara dan pengimport yang sudah lama bekerjasama, kita masih mendapat bekalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Agrofiesta Aidilfitri 2025 yang dirasmikan Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Abdul Rashid berkata, Fama buat julung kalinya akan menawarkan santan segar pada potongan harga istimewa menerusi program jualan Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri, membabitkan 42 lokasi di seluruh negara bermula 29 Mac ini.
“Sebab kita mengakui harga (santan) ketika ini agak tinggi sikit dan memang ada gangguan bekalan (kelapa) bukan sahaja di Malaysia tetapi peringkat dunia, tetapi keadaan sudah semakin baik sekarang.
“Jadi kita mahu memberi sedikit kelegaan kepada pengguna dengan menjual santan pada potongan harga istimewa dan maklumat lanjut kita akan umum kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, 40 usahawan menyertai Agrofiesta Aidilfitri 2025 yang diadakan di pusat beli-belah 1st Avenue, di sini dan Sunway Carnival di Seberang Jaya.
Ia melibatkan industri makanan, kraftangan, kosmetik serta pakaian dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 juta.
Pada majlis tersebut, Fama turut menyerahkan Geran Agrobazaar K-Shoppe dan Bantuan Pembaikan Imej dan Pembungkusan Produk kepada 13 usahawan terpilih membabitkan dana RM95,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd
